Mahkamah Tinggi benarkan Berjaya Group cabar taksiran tambahan RM428.04 juta oleh LHDN

LocalBusiness & Finance
26 May 2026 • 2:38 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Tinggi benarkan Berjaya Group cabar taksiran tambahan RM428.04 juta oleh LHDN Image from: Mahkamah Tinggi benarkan Berjaya Group cabar taksiran tambahan RM428.04 juta oleh LHDN hamden26/05/2026 - 14:38

KUALA LUMPUR 26 Mei - Berjaya Group Berhad memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar taksiran tambahan berjumlah RM428.04 juta yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun taksiran 2018 hingga 2023.

 

Hakim Alice Loke Yee Ching turut membenarkan permohonan penangguhan interim terhadap keputusan LHDN bertarikh 30 Julai 2025 sementara menunggu pelupusan semakan kehakiman tersebut.

 

Mahkamah menetapkan 16 Jun 2026 bagi pendengaran inter partes berhubung permohonan penangguhan itu, lapor The Edge.

 

Berjaya Group memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 19 Ogos tahun lalu dengan menamakan Ketua Pengarah LHDN sebagai responden tunggal.

 

Dalam permohonannya, syarikat itu memohon perintah certiorari untuk membatalkan notis taksiran tambahan yang dikeluarkan LHDN atas alasan pengenaan cukai tersebut adalah ultra vires Akta Cukai Pendapatan (ACP), tidak sah di sisi undang-undang, melampaui bidang kuasa serta bercanggah dengan jangkaan sah syarikat.

 

Syarikat itu turut memohon deklarasi bahawa Seksyen 140A ACP dibaca bersama Kaedah-Kaedah Cukai Pendapatan (Harga Pindahan) 2012 dan 2023, Garis Panduan Harga Pindahan LHDN 2017 serta garis panduan OECD membenarkan perubahan kadar faedah dalam pembiayaan intra-kumpulan.

 

Selain itu, Berjaya Group mendakwa LHDN tersalah tafsir dan tersalah guna Seksyen 140A(2) dan 140A(3) ACP ketika membuat pelarasan harga pindahan kerana gagal membuktikan bahawa perubahan kadar faedah tidak dibenarkan di bawah undang-undang.

 

Syarikat berkenaan juga mempertikaikan tindakan LHDN yang mengecualikan pinjaman tanpa faedah daripada Berjaya Corporation Berhad dalam pengiraan kos dana.

 

Menurut syarikat itu, pendahuluan yang diberikan tidak boleh dianggap sebagai bantuan kewangan di bawah Kaedah 12(2) Kaedah Harga Pindahan 2012/2023 yang membolehkan faedah dikenakan.

 

Dalam masa sama, Berjaya Group turut berhujah bahawa LHDN gagal mengaplikasikan ujian substans ekonomi seperti diperuntukkan di bawah Garis Panduan OECD dan Garis Panduan Harga Pindahan LHDN 2017 bagi menentukan sama ada pendahuluan tersebut benar-benar merupakan bantuan kewangan.

 

Syarikat itu juga memohon deklarasi bahawa LHDN gagal memenuhi prasyarat statutori di bawah Seksyen 140A(3) ACP yang memerlukan kewujudan “alasan untuk mempercayai” sebelum sebarang pelarasan harga pindahan dibuat.

 

Selain itu, syarikat berpendapat pengenaan surcaj di bawah Seksyen 140A(3C) ACP adalah tidak tepat dan bercanggah dengan peruntukan undang-undang.

 

Berjaya Group diwakili Datuk S Saravana Kumar dan Tan Jia Hua daripada Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership, manakala Jabatan Peguam Negara diwakili peguam kanan persekutuan Mohd Isa Mohamed yang membantah permohonan kebenaran tersebut.

 

Saravana Kumar ketika dihubungi mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu semalam. - DagangNews.com

Terkini featured standard