
Spotify dan Universal Media Group (UMG) mengumumkan perjanjian pelesenan rakaman dan penerbitan muzik baharu yang membolehkan peminat mencipta lagu saduran (cover) dan remix menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif. Ciri ini akan memerlukan langganan tambahan untuk digunakan bersama dengan langganan Spotify Premium.

Menerusi pelesenan ini, artis dan penulis lagu akan berkongsi pendapatan yang dijana daripada saduran dan remix AI yang dilesenkan di platform Spotify. Ia akan menjadi sumber pendapatan tambahan di samping royalti sedia ada. Spotify menekankan bahawa ciri ini dibina atas asas persetujuan, kredit, dan imbuhan kepada artis dan penulis lagu yang terlibat.
Spotify mengatakan ini adalah inisiatif menyelesaikan cabaran besar dalam muzik dan membawa transformasi teknologi yang menguntungkan artis dan peminat. Sementara itu UMG pula menyifatkannya sebagai inisiatif untuk peminat paling tegar berasaskan AI yang menyokong kreativiti manusia dan membuka peluang pendapatan baharu untuk seluruh ekosistem muzik.
Di platform media sosial terdapat banyak lagu saduran menggunakan AI dimuat naik tanpa kebenaran tanpa pemegang hakcipta menjana sebarang pendapatan. Ini dapat dilihat Februari lalu apabila lagu Cinta Tersimpul Rapi yang dipopularkan oleh Anis Suraya di dekad 90an disadur menggunakan AI oleh Jane In Heaven sebulan yang lalu. Di media sosial ramai yang mengkritik lagu olahan semula ini tidak membayar royalti kepada penulis asal Azmeer dan Lukhman S. Akibatnya semua lagu saduran saluran ini dipadam selepas dituntut oleh pemegang hak cipta.



