Mahkamah Tinggi: Kastam tak boleh sekat perjalanan pengarah hanya kerana syarikat ada tunggakan cukai

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 4:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah Tinggi: Kastam tak boleh sekat perjalanan pengarah hanya kerana syarikat ada tunggakan cukai Image from: Mahkamah Tinggi: Kastam tak boleh sekat perjalanan pengarah hanya kerana syarikat ada tunggakan cukai hamden23/09/2026 - 16:56

KUALA LUMPUR 23 Sept - Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia tidak boleh mengenakan sekatan perjalanan terhadap pengarah syarikat secara automatik hanya kerana syarikat berkenaan mempunyai tunggakan cukai.

 

Hakim Evawani Farisyta Mohammad berkata Ketua Pengarah Kastam perlu terlebih dahulu mempunyai asas fakta yang kukuh untuk mempercayai bahawa individu berkenaan akan meninggalkan negara tanpa melunaskan cukai tertunggak sebelum kuasa menghalang perjalanan boleh digunakan.

 

Beliau berkata kewujudan tunggakan cukai semata-mata tidak mencukupi untuk mewajarkan sekatan perjalanan.

 

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan semakan kehakiman oleh tiga bekas pengarah dan pemegang saham Federal Power Sdn Bhd, Datuk Abdul Razak Abdul, Abdul Aziz Abdul dan Yap Chi Keong, yang mencabar sekatan perjalanan terhadap mereka berhubung tunggakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) syarikat.

 

Dalam alasan penghakiman setebal 35 halaman bertarikh 21 September, Evawani berkata tunggakan cukai tidak secara automatik menjadikan seseorang itu berisiko melarikan diri, menurut laporan NST.

 

Katanya, Seksyen 49 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang kini telah dimansuhkan, menghendaki Kastam mempunyai “sebab untuk mempercayai” bahawa seseorang itu akan atau berkemungkinan meninggalkan negara tanpa membayar cukai yang terhutang sebelum sekatan perjalanan dikenakan.

 

“Kepercayaan” berkenaan, katanya, mesti disokong dengan “alasan yang baik dan kukuh”.

 

Berisiko melarikan diri

Mahkamah mendapati tiada bukti mengenai pergerakan pemohon keluar masuk negara sebelum sekatan dikenakan dikemukakan bagi menunjukkan mereka berisiko melarikan diri.

 

Jabatan Kastam juga gagal mengemukakan bukti lain bahawa pemohon berniat meninggalkan negara bagi mengelakkan pembayaran cukai.

 

Evawani berkata pemohon hanya mengetahui mengenai sekatan perjalanan itu selepas Aziz cuba meninggalkan negara pada 8 September 2019.

 

Beliau menerima keterangan bahawa Aziz ketika itu melakukan perjalanan ke luar negara atas urusan perniagaan.

 

Hakim itu turut menegaskan bahawa hak untuk ke luar negara merupakan sebahagian daripada hak kebebasan diri yang dilindungi di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan.

 

Katanya, keperluan berkanun perlu dipatuhi dengan ketat bagi memastikan kebebasan asasi tidak disekat secara sewenang-wenangnya.

 

Prosedur penyampaian notis sekatan perjalanan tidak dipatuhi

Mahkamah turut mendapati responden gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan undang-undang dalam penyampaian notis sekatan perjalanan.

 

Di bawah Seksyen 49(3), notis berkenaan perlu disampaikan secara peribadi atau melalui pos berdaftar kepada individu yang terlibat.

 

Sebaliknya, jabatan berkenaan menyampaikan notis melalui sistem MyGST Taxpayer Access Point kepada Federal Power.

 

Evawani berkata sekatan itu dikenakan terhadap individu dan bukannya syarikat, walaupun liabiliti cukai tersebut melibatkan syarikat.

 

Beliau menyifatkan kegagalan menyampaikan notis mengikut kaedah yang ditetapkan undang-undang sebagai tidak sah.

 

Mahkamah turut memerintahkan responden membayar kos RM7,000 kepada ketiga-tiga pemohon.

 

Pemohon diwakili Jeff Sum Wai Loon dan Tan Wen Ying, manakala peguam persekutuan Dzaqiff Shauqi Mohammad Agus mewakili responden. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved