Mahkamah Tinggi Ketepikan Hukuman Penjara 20 Tahun, Arah Bicara Semula Kes Lelaki Rogol Anak Tiri 

17 Sep 2026 • 8:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Mahkamah Tinggi Ketepikan Hukuman Penjara 20 Tahun, Arah Bicara Semula Kes Lelaki Rogol Anak Tiri 

MUAR - Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang lelaki berusia 42 tahun yang didapati bersalah merogol anak tirinya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Kalyana Kumar Sockalingam turut mengarahkan kes itu dibicarakan semula selepas mendapati Mahkamah Sesyen tidak mengemukakan alasan penghakiman yang mencukupi bagi menyokong keputusannya.

Beliau memerintahkan perbicaraan semula itu dijalankan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang berbeza.

Katanya, ketiadaan alasan penghakiman bertulis atau alasan lisan yang bermakna, selain fakta bahawa perbicaraan didengar oleh dua hakim berbeza bagi bahagian-bahagian tertentu, menyebabkan Mahkamah Tinggi tidak dapat menilai dengan sewajarnya sama ada sabitan terhadap lelaki itu selamat untuk dikekalkan.

Lelaki berkenaan sebelum ini disabitkan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan dan dijatuhi hukuman penjara 20 tahun serta 10 sebatan kerana merogol anak tirinya di sebuah rumah di Simpang Renggam, Kluang, kira-kira jam 7 pagi pada 8 Ogos 2022.

Dia kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.

Dalam alasan penghakimannya dikeluarkan baru-baru ini, Kalyana berkata tiada alasan penghakiman bertulis disediakan berikutan hakim Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan sabitan terhadap lelaki itu telah bersara.

Beliau turut mendapati tiada alasan lisan yang bermakna direkodkan sama ada selepas pendakwaan selesai mengemukakan kes atau selepas pihak pembelaan menutup kes mereka.

“Rekod hanya menunjukkan keputusan ringkas bahawa kes prima facie telah dibuktikan dan kemudiannya pendakwaan telah membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

“Dalam rayuan ini, langsung tiada alasan penghakiman,” katanya.

Kalyana berkata, Seksyen 308 Kanun Tatacara Jenayah mewajibkan mahkamah bicara memberikan alasan keputusannya kepada mahkamah rayuan.

Menurutnya, ketiadaan alasan berkenaan menyebabkan Mahkamah Tinggi tidak dapat menentukan mengapa pengadu dianggap sebagai saksi yang boleh dipercayai, sama ada hakim bicara mengambil kira risiko menjatuhkan sabitan berdasarkan keterangan yang tidak disokong, bagaimana percanggahan keterangan ditangani serta sebab pembelaan tertuduh ditolak.

Beliau menegaskan, kecacatan itu bukan berpunca daripada ketiadaan keseluruhan bukti, sebaliknya Mahkamah Tinggi tidak dapat menilai ketepatan sabitan berkenaan susulan kekurangan dari segi prosedur.

"Ini bukan kes di mana keterangan pendakwaan terlalu lemah sehingga memerlukan pembebasan serta-merta,” katanya.

Mahkamah Tinggi turut menyoroti keadaan luar biasa apabila perbicaraan kes itu didengar oleh dua hakim Mahkamah Sesyen yang berbeza.

Hakim pertama mendengar keterangan beberapa saksi utama pendakwaan, termasuk pengadu, manakala hakim kedua mendengar keterangan pegawai penyiasat dan pihak pembelaan sebelum menjatuhkan sabitan terhadap tertuduh.

“Masalahnya di sini ialah hakim Mahkamah Sesyen kedua tidak pernah melihat atau mendengar keterangan pengadu, yang merupakan saksi utama pihak pendakwaan,” kata Kalyana.

Tertuduh diwakili peguam Mandave Singh Gill, manakala Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin hadir bagi pihak pendakwaan. - Getaran, 17 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved