
BENAR kata-kata bijak pandai bahawa pendidikan mampu mengubah hidup. Demikian ungkapan yang cukup tepat menceritakan kejayaan anak kelahiran Malaysia, Nur Zahirah Khairudin, 25, yang melakar sejarah apabila muncul sebagai antara wanita Muslim berhijab dari Malaysia yang mengangkat sumpah sebagai peguam di Mahkamah Tinggi New Zealand.
Daripada rutin seawal pagi menolong ibu menjual kuih dan mengemas bilik motel pada hujung minggu demi menampung yuran pengajian dan ekonomi keluarga, hari ini namanya menjadi sebutan.
Menurut perkongsian Akram Zul di Threads, kejayaan wanita muda itu bukan sekadar pencapaian peribadi, malah satu detik membanggakan buat keluarga dan anak Malaysia di perantauan.

"Inilah yang dibuktikan oleh seorang wanita berjiwa kental, Nur Zahirah apabila dia secara rasminya mengangkat Oath sebagai Peguam di Mahkamah Tinggi New Zealand.
"Kejayaan ini sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila beliau menjadi satu-satunya wanita Muslim berhijab dari Malaysia yang memegang jawatan dan kedudukan penuh prestij itu di sana, lengkap bersama pemilikan ijazah berganda.
"Pernah dipandang sebelah mata sebab rupa dan ‘level’. Hari ini, dia angkat Oath sebagai Peguam di Mahkamah Tinggi New Zealand.
"Lebih membanggakan, dia satu-satunya wanita Malaysia, Muslim berhijab . Boleh jadi, Anak watan pertama melakar sejarah di sini," kongsinya.
s/h: Bukan lahir dalam keluarga berada
Memiliki kehidupan sederhana di bumi asing, kejayaan Nur Zahirah tidak datang bergolek.
Kegigihannya membantu keluarga sambil mengejar pendidikan turut menjadi antara sisi menarik perjalanan wanita muda ini.
"Tiada keluarga ternama. Tiada cerita privilege yang hebat. Yang ada cuma ilmu, usaha, disiplin, doa dan pengorbanan mak ayah.
"Dia anak kedua daripada tujuh beradik. Di sini, ayahnya bekerja sebagai posmen manakala ibunya pula menjahit secara sambilan untuk membantu keluarga.

"Dia sedang membina masa depan dan membawa nama keluarga. Paling penting, dia sedang membuktikan kepada enam adik-beradiknya bahawa seorang anak daripada keluarga biasa pun boleh bermimpi besar," kongsi Akram.
Difahamkan, peguam muda itu juga pernah melalui pengalaman dipandang rendah hanya kerana penampilan dan latar belakangnya.
"Ada satu kejadian yang aku takkan lupa. Pernah dalam satu majlis, aku dengan beberapa orang perasan dia dipandang sebelah mata oleh seorang ‘live-host’. Bila rupa dijadikan ukuran untuk memilih kawan, jangan terkejut bila hidup kemudian mengajar kau bahawa pencapaian jauh lebih mahal dari rupa.
"Aku cerita benda ni bukan untuk menjatuhkan sesiapa. Benda ni buat aku sedar satu perkara. Kadang-kadang kita tengok orang dan fikir,
“Oh, dia ni macam biasa-biasa je."
Namun, di sebalik penampilan yang sederhana itu, Nur Zahirah menyimpan impian besar yang akhirnya berjaya direalisasikan menerusi pendidikan, usaha dan pengorbanan.
Perjalanan ini menjadi bukti bahawa kejayaan tidak semestinya bermula dengan 'dulang emas' atau kelebihan tertentu. Kesungguhan untuk terus belajar dan tidak mudah mengalah mampu membuka jalan kepada masa depan yang lebih baik.
Semoga kisah kejayaan Nur Zahirah memberikan inspirasi kepada ramai untuk tidak mudah mengalah mendepani liku-liku hidup. Selagi ada kesungguha, di situ pasti ada jalan untuk mengejar impian.
Sumber: Thread akramzul






