amree16/10/2026 - 17:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt — CSC Steel Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, CSC Steel Sdn Bhd, memutuskan untuk menghentikan permohonan semakan kehakiman berhubung keputusan kerajaan memansuhkan duti antilambakan terhadap import gegelung keluli canai sejuk.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata keputusan menghentikan permohonan berkenaan dibuat selepas penelitian terhadap perkara terbabit dan pertimbangan sewajarnya, demi kepentingan terbaik kumpulan, sekali gus menyelesaikan kes itu secara baik
Kes ini melibatkan keputusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menghapuskan duti ke atas import produk keluli aloi dan bukan aloi dengan ketebalan antara 0.20 milimeter hingga 2.60 milimeter serta lebar antara 700 milimeter hingga 1,300 milimeter.
Permohonan yang pernah difailkan oleh syarikat berkenaan turut mencabar keputusan oleh Menteri Kewangan dan/atau Kementerian Kewangan (MoF) berhubung pelaksanaan pindaan kepada Perintah Duti Antilambakan Kastam (Kajian Semula Pentadbiran) (No.3) 2021.
"CSC Steel Sdn Bhd memfailkan permohonan semakan kehakiman itu terhadap Menteri MITI, MITI, Menteri Kewangan dan Kerajaan Malaysia, seperti dirujuk dalam pengumuman syarikat di Bursa Malaysia pada 4 Disember 2023," jelas CSC Steel dalam kenyataan tersebut.

Menurut kumpulan itu, keputusan menarik balik permohonan tersebut merupakan penyelesaian secara baik dan bukannya disebabkan berlaku susulan sebarang keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada pemohon berhubung merit substantif kes berkenaan.
Ujarnya, Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur, Bahagian Kuasa-Kuasa Khas, pada 21 September 2026 memerintahkan supaya permohonan tersebut dihentikan. Perintah mahkamah berkenaan kemudiannya dimeterai dan difailkan pada 6 Oktober 2026.
Dalam pada itu, CSC Steel berkata, langkah penghentian prosiding kes berkenaan tidak dijangka memberi sebarang kesan material terhadap prestasi kewangan kumpulan sepanjang tempoh tersebut.
"Lembaga pengarah turut menyatakan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan dengan teliti keadaan yang berkaitan dengan permohonan berkenaan dan demi kepentingan terbaik kumpulan," tambahnya.
Kumpulan itu menegaskan komitmennya untuk melindungi kepentingan komersial yang sah serta mengekalkan hubungan dan penglibatan konstruktif dengan pihak berkuasa berkaitan dalam perkara yang mempengaruhi industri keluli domestik. - DagangNews.com






