Mahkamah tolak alasan ‘Act To God’ dalam banjir Sri Muda

LocalEnvironment
29 Sep 2026 • 4:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Mahkamah tolak alasan ‘Act To God’ dalam banjir Sri Muda

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini, hari ini membenarkan tuntutan saman difailkan 50 penduduk Taman Sri Muda terhadap pihak berkuasa selepas mendapati wujud unsur kegagalan dalam pengurusan bencana banjir pada 2021.

Tuntutan saman itu dibuat kepada tujuh defendan melibatkan Kerajaan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Alam Sekitar dan Air, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pesuruhjaya Kehakiman, Shoba Rajah dalam penghakimannya memaklumkan kesemua plaintif berjaya membuktikan kewujudan tanggungjawab berhati-hati dalam aspek operasi, pelanggaran tanggungjawab tersebut serta hubungan sebab-akibat yang mencukupi antara kegagalan defendan dengan kemudaratan yang dialami.

Menurutnya, defendan tidak boleh mengelakkan liabiliti dengan hanya mengklasifikasikan kes ini sebagai melibatkan keputusan dasar, budi bicara kerajaan, hujan luar biasa lebat atau infrastruktur yang telah melebihi kapasiti reka bentuk asalnya.

Sebaliknya, katanya, kes berkenaan melibatkan kegagalan dalam pelaksanaan dan operasi tanggungjawab berkaitan pengurusan bencana, meteorologi, sistem saliran serta kawalan banjir.

“Pihak defendan berhujah bahawa hujan luar biasa lebat yang berlaku merupakan ‘Act of God’ (kejadian di luar kawalan manusia) dan banjir yang berlaku tidak dapat dicegah secara munasabah ditolak Mahkamah.

“Pembelaan itu perlu diteliti sewaharnya khususnya di negara beriklim tropika yang sememangnya terdedah kepada hujan lebat dan banjir sebagai kejadian alam yang boleh dijangka,” katanya.

Shoba berkata, tidak memadai sekadar membuktikan hujan yang turun adalah luar biasa lebat atau melebihi kapasiti asal sistem saliran serta infrastruktur kawalan banjir.

“Sebaliknya, pihak defendan perlu membuktikan bahawa kejadian tersebut begitu luar biasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga tiada langkah munasabah dari segi jangkaan, persediaan atau tindak balas operasi yang mampu mengelakkan kemudaratan yang berlaku.

“Kegagalan operasi yang berjaya dibuktikan oleh plaintif menyebabkan hujan tersebut tidak boleh dijadikan pembelaan sepenuhnya oleh pihak defendan,” tegasnya.

Dalam penghakimannya, Shoba berkata, Nadma dan MetMalaysia melanggar tanggungjawab operasi masing-masing dalam pengurusan bencana serta penyampaian amaran risiko banjir.

Jelasnya, kedua-dua agensi berkenaan perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan cekap, selain mengambil kira keselamatan individu yang terdedah kepada risiko banjir yang boleh dijangka.

“JPS mempunyai tanggungjawab operasi berterusan untuk mengurus, menyelenggara dan mengendalikannya dengan tahap kecekapan yang munasabah.

“MBSA tidak boleh mengelakkan tanggungjawab tersebut hanya kerana aset utama mitigasi banjir dimiliki atau dikawal oleh pihak berkuasa awam yang lain,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Oktober depan sebagai pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran bagi menentukan jumlah ganti rugi.

Banjir besar yang melanda Taman Sri Muda pada Disember 2021 itu meragut 12 nyawa selain menyebabkan kerosakan kepada kediaman dan harta benda penduduk.

Pada prosiding itu, kesemua 50 penduduk berkenaan diwakili peguam James Joshua Paulraj, Regine Ng, Ahmad Badri Mustaffa, M. Gobinath dan P. Taneswaran.

Peguam Kanan Persekutuan, Al-Saifi Hashim, Nurul Farhana Khalid dan Liew Horng Bin mewakili kerajaan Persekutuan.

Penasihat Undang-Undang Negeri, Faris Shah Kamarulzaman dan peguam, Norazalina Hairuddin pula, masing-masing mewakili JPS dan MBSA. – KOSMO! ONLINE

The post Mahkamah tolak alasan ‘Act To God’ dalam banjir Sri Muda appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved