liza29/09/2026 - 14:50 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Sept – Mahkamah Tinggi memutuskan Kerajaan Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertanggungjawab atas kecuaian dalam pengurusan dan tindak balas terhadap banjir besar yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam pada Disember 2021.
Keputusan itu dibuat selepas 50 penduduk Taman Sri Muda berjaya membuktikan tuntutan mereka berhubung kecuaian dan kegagalan pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan kesan bencana berkenaan.
Pesuruhjaya Kehakiman Shoba Rajah Dorai Rajah berkata hujan luar biasa pada 18 Disember 2021 tidak melepaskan pihak berkuasa daripada tanggungjawab terutama apabila terdapat sistem pemantauan, data cuaca dan mekanisme tindak balas yang boleh digunakan untuk melindungi penduduk.
Mahkamah turut menolak alasan bahawa banjir itu merupakan kejadian di luar kawalan manusia kerana kesannya masih boleh dikurangkan sekiranya tindakan munasabah diambil pada masa yang tepat.
Menurut Shoba, pihak berkuasa yang menjalankan fungsi pemantauan cuaca, pengurusan bencana dan operasi menyelamat perlu melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan tahap kecekapan yang munasabah.
Data cuaca ada, tindakan tidak mencukupi
Dalam penghakimannya, mahkamah berkata data teknikal menunjukkan hujan yang turun pada 18 Disember 2021 berada pada tahap luar biasa, namun maklumat mengenai keadaan itu sepatutnya diterjemahkan kepada tindakan lebih pantas bagi melindungi penduduk.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) antara pihak yang dipersoalkan susulan kegagalannya meningkatkan tahap tindak balas bencana, selain tidak memastikan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan pasukan SMART (Special Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team) digerakkan secara berkesan.
Kelemahan itu menjejaskan keupayaan pihak berkuasa menyalurkan bantuan menyelamat kepada penduduk pada masa diperlukan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula tidak mengeluarkan amaran pada masa yang sesuai dan pada kategori bahaya yang sepatutnya, walaupun mempunyai maklumat ramalan cuaca yang boleh digunakan untuk menentukan tahap ancaman.
Mahkamah turut melihat kelemahan yang lebih luas dalam pengurusan bencana, termasuk kekurangan program kesedaran awam di Taman Sri Muda walaupun kawasan berkenaan sudah diketahui mempunyai risiko banjir.
Kelewatan menyalurkan maklumat daripada peringkat daerah ke negeri serta ketiadaan pegawai perhubungan yang sesuai turut menjejaskan penyelarasan antara agensi ketika operasi kecemasan berlangsung.
Operasi menyelamat banyak bergantung kepada komuniti
Keadaan itu akhirnya menyebabkan operasi mencari dan menyelamat banyak bergantung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat.
Mahkamah berkata kegagalan mengenal pasti tahap bencana dengan tepat turut menyebabkan campur tangan penting tertangguh pada ketika bantuan diperlukan dengan segera.
Dalam pada itu, liabiliti terhadap kegagalan operasi NADMA dan METMalaysia diletakkan kepada Kerajaan Persekutuan memandangkan kedua-dua agensi berkenaan menjalankan fungsi berkaitan pengurusan dan tindak balas bencana di peringkat nasional.
Bagi JPS Selangor, mahkamah menolak alasan bahawa jumlah hujan yang turun telah melebihi kapasiti infrastruktur sedia ada sebagai asas untuk mengelakkan tanggungjawab.
Shoba berkata, selepas sesuatu aset dibina dan digunakan, JPS mempunyai tanggungjawab berterusan untuk memastikan aset berkenaan disenggara, dinaik taraf dan dikendalikan dengan sewajarnya.
Ini bermakna, kapasiti infrastruktur semata-mata tidak mencukupi untuk menolak tanggungjawab sekiranya kelemahan operasi turut menyumbang kepada keadaan yang berlaku.
MBSA turut terikat dengan tanggungjawabnya
MBSA juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab hanya dengan alasan bahawa kolam takungan dan infrastruktur utama berada di bawah JPS.
Mahkamah berkata MBSA tetap mempunyai tanggungjawab sendiri di bawah undang-undang berkaitan jalan, saliran dan bangunan untuk memastikan sistem saliran awam dalam kawasan pentadbirannya disenggara dengan baik.
Dengan keputusan itu, mahkamah mengesahkan liabiliti Kerajaan Malaysia, JPS Selangor dan MBSA berhubung tuntutan 50 penduduk terbabit.
Bagaimanapun, jumlah ganti rugi yang perlu dibayar masih belum ditentukan dan akan diputuskan melalui proses penilaian ganti rugi pada peringkat seterusnya.
Mahkamah menetapkan 6 Oktober untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran berkaitan penilaian jumlah ganti rugi.
50 penduduk berkenaan diwakili James Joshua Paulra, Regine Ng dan Ahmad Badri, manakala Kerajaan Persekutuan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohammad Al-Saifi Hashim, Nurul Farhana Khalid dan Liew Horng Bin.
JPS Selangor pula diwakili Penasihat Undang-Undang Negeri Faris Shah Kamarulzaman, manakala MBSA diwakili peguam Norazalina Hairuddin. - DagangNews.com






