Mahkamah tolak rayuan kontraktor berhubung penamatan projek saluran paip air di Perlis bernilai RM12.2 juta

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 8:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mahkamah tolak rayuan kontraktor berhubung penamatan projek saluran paip air di Perlis bernilai RM12.2 juta Image from: Mahkamah tolak rayuan kontraktor berhubung penamatan projek saluran paip air di Perlis bernilai RM12.2 juta johardy17/11/2026 - 08:30 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

PUTRAJAYA 17 Nov - Mahkamah Rayuan menolak rayuan Hamzah Jaafar (P) Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan tindakan kerajaan menamatkan kontrak projek air bernilai RM12.2 juta di Perlis susulan kebimbangan mengenai dakwaan konflik kepentingan.

 

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Lim Hock Leng, bersama Hakim Evrol Mariette Peters dan Hakim Ahmad Shahrir Salleh, membuat keputusan sebulat suara itu serta memerintahkan syarikat membayar kos RM30,000.

 

Ahmad Shahrir ketika menyampaikan keputusan berkata, penamatan di bawah peruntukan kepentingan awam dalam Klausa 9(o) kontrak itu tidak bergantung pada bukti rasuah, penyelewengan dana atau pelanggaran kontrak tertentu.

 

Menurutnya, keadaan berkaitan proses tender dan pelantikan yang membabitkan jurutera Hamizan Hamzah menimbulkan kebimbangan berasas mengenai konflik kepentingan.

 

Kontrak yang dianugerahkan pada 8 April 2019 itu meliputi pembinaan saluran paip air dari takungan Oran di Perlis ke Batu Bertangkup serta sebuah tangki air konkrit bertingkat. Nilai tepat kontrak ialah RM12,210,210 dengan tempoh penyiapan selama 16 bulan.

 

Pertindihan peranan perunding dan kontraktor

Kerajaan kemudian menamatkan kontrak berkenaan susulan kebimbangan mengenai dakwaan konflik kepentingan membabitkan Hamizan, yang memegang peranan dalam firma perunding projek, Hamzah Engineering Consultant (HEC), dan syarikat kontraktor.

 

Mahkamah Tinggi mendapati Hamizan memegang jawatan penting dalam kedua-dua entiti, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan perkhidmatan perundingan yang diberikan.

 

Hamizan merupakan prinsipal HEC, yang dilantik untuk mereka bentuk projek, menyediakan dokumen tender, menilai tender, mengesyorkan kontraktor, menyelia kerja pembinaan dan memperakukan tuntutan bayaran kontraktor.

 

Pada masa sama, beliau ialah pegawai syarikat yang diberi kuasa oleh Hamzah Jaafar, seperti direkodkan dalam sijil Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) syarikat itu bagi tempoh 29 Oktober 2018 hingga 27 Jun 2021. Tempoh tersebut merangkumi proses tender, penganugerahan kontrak dan pelaksanaan awal projek.

 

Pertindihan peranan itu berterusan selepas proses tender apabila Hamizan sendiri menyediakan dan mengesyorkan perakuan bayaran interim pertama dan kedua kontraktor berkenaan.

 

Syarikat nafi konflik kepentingan

Hamzah Jaafar menafikan wujud konflik kepentingan dengan berhujah penilaian tender dilaksanakan oleh jawatankuasa penilaian tender, bukannya HEC. Syarikat itu turut mendakwa penjelasan dan dokumen sokongannya tidak dipertimbangkan sewajarnya.

 

Syarikat berkenaan menuntut RM10.34 juta bagi bayaran kontrak tertunggak serta ganti rugi atas kemudaratan terhadap reputasinya.

 

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak saman itu selepas mendapati syarikat gagal memenuhi beban pembuktian dan konflik kepentingan boleh termasuk dalam skop kepentingan awam di bawah Klausa 9(o).

 

Dalam mengekalkan penamatan kontrak tersebut, Mahkamah Rayuan turut meneliti kronologi kejadian dan dokumen sokongan bagi menentukan sama ada keputusan kerajaan itu berasas.

 

Nasir Abdullah mewakili kontraktor, manakala Peguam Kanan Persekutuan Noridayu Kassim dan Peguam Persekutuan Sheryn Yong mewakili kerajaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved