Mahsuri Dagang tawar Biasiswa Chef Muda kepada 10 pelajar ikuti latihan di FIM

LocalFood
2 Nov 2026 • 6:15 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Biasiswa Chef Muda Mahsuri

SHAH ALAM: Seramai 10 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima Biasiswa Chef Muda Mahsuri di sini, hari ini bagi mengikuti latihan dalam pensijilan kulinari di Institut Makanan Malaysia (FIM).

Tawaran tersebut sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) bagi memberi peluang khususnya kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Pengarah Hal Ehwal Luar Mahsuri Dagang, Mohd. Jazri Ikmal Hijaz berkata, tawaran latihan dan biasiswa itu adalah kerjasama antara pihaknya bersama FIM dan Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) bagi memberi peluang kepada mereka yang berminat meneroka bidang tersebut.

Katanya, proses pemilihan dilakukan oleh FIM dan Zakat Selangor yang mengenal pasti pelajar dari keluarga kurang berkemampuan untuk menyertai kursus selama tujuh bulan merangkumi empat bulan pembelajaran dengan FIM sebelum mengikuti latihan industri bersama Hotel Courtyard by Marriott selama tiga bulan.

“Tawaran Basiswa Chef Muda Mahsuri merupakan kali keempat sejak 2023 dan seramai 25 orang sudah pun menerima tajaan daripada Mahsuri Dagang untuk mengikut kursus dalam bidang kulinari khususnya masakan tradisional orang Melayu.

“Kita beri peluang kepada mereka untuk belajar kerana biasiswa merangkumi elaun, yuran latihan dan penginapan supaya mereka boleh fokus kepada latihan. Kemudian apabila mengikut latihan industri nanti mereka juga akan diberikan elaun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Biasiswa Program Chef Muda Mahsuri di Hotel Courtyard by Marriott yang dirasmikan oleh MasterChef Malaysia, Chef Moh Johari Idrus (Chef Jo) di sini, hari ini.

Mohd. Jazri menambah, beliau juga bercadang untuk menambah jumlah penerima biasiswa pada masa hadapan supaya lebih ramai golongan kurang berkemampuan atau B40 yang minat mengikuti latihan masakan tradisional Melayu berpeluang menerimanya.

Sementara itu, seorang penerima, Nurqaseh Nazri, 18, dari Batang Kali, Hulu Selangor menganggap tawaran biasiswa ini sebagai peluang keduanya untuk membina kerjaya pada masa hadapan terutama dalam bidang pastri.

“Saya tidak pernah merancang untuk memasuki bidang kulinari, namun semuanya bermula apabila saya menonton video masakan oleh Chef Jo. Dari situ timbul minat dan mahu mencuba. Malah ibu bapa juga mendorong saya untuk memasuki bidang pastri.

“Asalnya, saya berhasrat untuk menceburi bidang pendidikan Bahasa Inggeris, tetapi belum ada peluang lagi untuk melanjutkan pengajian di universiti. Jadi, ini peluang saya untuk belajar kulinari. Lagipun keluarga saya ada resepi kek mentega turun temurun,” ujarnya.

Bagi Syasya Nabilah Mohd. Nasri, 18, yang berasal dari Bangsa memberitahu, pengalamannya bekerja di restoran dan hotel mendorong minatnya untuk mempelajari bidang kulinari.

“Saya selalu bantu ibu di dapur, minat memasak. Kemudian saya jumpa iklan tentang latihan di FIM dan terus memohon. Alhamdulillah terus diterima dan ia sememangnya peluang untuk saya belajar.

“Pengalaman sendiri dalam bidang makanan dan minuman (F&B) pasti menjadi nilai tambah. Malah saya memahami cabaran dalam bidang tersebut dan bersedia mencabar diri sendiri untuk menempuhinya,” kongsinya. – UTUSAN

The post Mahsuri Dagang tawar Biasiswa Chef Muda kepada 10 pelajar ikuti latihan di FIM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved