Mahu Ceburi Bidang Perniagaan, Iman Troye Bakal Lancar Produk Jenama Sendiri - “Orang Yang Saya Kenal Sebelum Ini Bagi Idea Tapi…”

2 Nov 2024 • 9:55 PM MYT
Gempak
Gempak

Portal Hiburan No.1 Malaysia!

image is not available

Penyanyi, Iman Troye memaklumkan bahawa dia bakal melancarkan produk jenama sendiri dalam masa terdekat.

Walaupun sebelum ini pernah menjual produk merchandise, Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 21, berkata perniagaan kali ini akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.  

“Sebelum ini saya pernah buat bisnes juga jual lip matte tetapi hanya sebagai merchandise sahaja dan bisnes itu juga terhenti kerana saya terlalu sibuk dengan karier nyanyian saya. 

“Tetapi untuk kali ini saya memang betul-betul nak fokus dan jadikan perniagaan ini sebahagian dari hidup saya.  

“Saya inginkan sesuatu untuk kongsi bersama pengikut saya. Apa yang saya suka pakai hari-hari sebab itu saya memilih untuk buat jenama saya sendiri,” ujarnya ketika ditemui Gempak ketika di majlis Shopee Superstar Awards 2024 bertempat di The Agam baru-baru ini.

Teman rapat bagi idea

Mengulas lanjut mengenai sebab kenapa dia memilih untuk menceburi bidang perniagaan, pelantun lagu Teman itu berkata perkara tersebut dilakukan atas sebab dorongan daripada teman rapatnya. 

“Orang yang kenal saya sebelum ini, dia bagi saya idea untuk mula buat perniagaan, sebab dia nampak saya suka cakap dengan orang. Saya minat menjual. Saya rasa seronok. Jadi mereka bagi saya idea untuk buat jenama saya sendiri.

“Walaupun individu tersebut sudah tiada dalam hidup saya tapi hidup masih perlu diteruskan,” ujarnya lagi.