
SEREMBAN – Mahu menghukum pelajar junior yang didakwa melanggar peraturan asrama dipercayai menjadi motif kejadian yang menimpa pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di Kuala Pilah dekat sini, namun bukan bertujuan menyebabkan kematian.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perkara itu dikenal pasti selepas pihaknya melakukan siasatan awal berhubung kes kematian Muhammad Idlan Fareeq Shahril yang berusia 14 tahun.
“Bagaimanapun punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Setakat ini polis merekodkan keterangan 21 individu terdiri daripada pelajar, guru sekolah dan ibu bapa mangsa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Remaja itu yang ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.- KOSMO! ONLINE.
The post Mahu hukum junior langgar peraturan jadi motif appeared first on Kosmo Online.






