
KUALA PILAH – Pelajar tingkatan dua, Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril yang maut dipercayai menjadi mangsa buli pernah membantu pasukan kriket Negeri Sembilan apabila muncul Naib Johan dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024.
Chriket Adiwira N9 dalam hantaran di Facebook memaklumkan, segala jasa, kenangan dan kebaikan remaja berusia 14 tahun itu akan terus terpahat dalam ingatan mereka yang pernah mengenalinya.
“Allahyarham turut dikenang antara pemain muda yang pernah membawa nama Negeri Sembilan dalam pentas kriket peringkat kebangsaan.

“Pemergian Allahyarham pastinya meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga, rakan-rakan, guru, jurulatih serta seluruh warga kriket Negeri Sembilan yang pernah mengenali dan bersama-sama melalui perjalanan dalam sukan kriket,” kongsinya hari ini.
Chriket Adiwira N9 turut mendoakan agar Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham Muhammad Idlan mencucuri rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini,” menurut hantaran tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar lelaki dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-KOSMO! ONLINE.
The post Maut dibuli: Arwah Idlan harumkan N. Sembilan dalam kejohanan kriket appeared first on Kosmo Online.






![[VIDEO] Pelajar SMK Za’ba maut: Keluarga mahu tuntut keadilan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/Kamaruddin-1024x754.jpeg)