MAIWP Peruntuk RM1.6 Bilion Perkukuh Agenda Kebajikan & Pembangunan Ummah 2026

LocalPolitics
10 Dec 2025 • 8:43 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.6 bilion menerusi Bajet MAIWP 2026, dengan fokus utama untuk memperkukuh agenda kebajikan, pendidikan, dan pembangunan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar berkata, bajet yang bertemakan “Kesejahteraan Ummah” ini digubal secara realistik bagi memastikan setiap sen yang dibelanjakan memberi pulangan terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam menangani isu kos sara hidup dan kemiskinan bandar.

image is not available

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sebahagian besar dana iaitu RM1.354 bilion dikhususkan untuk agihan terus kepada asnaf yang merangkumi dua fokus utama:

  • Kesejahteraan dan Pemberdayaan Asnaf (RM1.157 bilion): Meliputi kluster kebajikan, perlindungan, perubatan, pembangunan ummah dan asnaf, serta wakalah dan zakat bahagian Amil.
  • Pemerkasaan Pendidikan Ummah (RM197.22 juta): Dana disediakan bagi kluster pendidikan serta institusi pendidikan dan kebajikan untuk memastikan anak-anak asnaf mendapat akses pendidikan berkualiti.
image is not available

“Bajet MAIWP 2026 memberikan tumpuan secara menyeluruh kepada usaha memperkukuh kesejahteraan asnaf melalui penyediaan keperluan asas serta pelaksanaan program pembangunan yang holistik”

Mohd Na’im menegaskan bahawa peruntukan besar ini mengambil kira realiti ekonomi semasa, di mana pendapatan isi rumah tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup, memberi kesan langsung kepada kelangsungan hidup asnaf di Wilayah Persekutuan.

Selain agihan, MAIWP turut memperuntukkan RM250.7 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM73.65 juta untuk tujuan pembangunan fizikal seperti hartanah dan pelaburan aset yang memberi manfaat jangka panjang.

Dari segi pendapatan, MAIWP optimis menganggarkan perolehan berjumlah RM1.7 bilion bagi tahun 2026, peningkatan sebanyak 9 peratus berbanding tahun ini.

Sasaran kutipan zakat sahaja dijangka mencecah RM1.37 bilion, disokong oleh sumber lain seperti sewaan, pelaburan, dan geran kerajaan. 

Sumber : Awani

Sumber: Facebook Sumber: Facebook

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.