Majestic Gen beli tanah RM75 juta di Jalan Anson, George Town untuk projek pembangunan berskala tinggi

4 Dec 2025 • 12:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Majestic Gen beli tanah RM75 juta di Jalan Anson, George Town untuk projek pembangunan berskala tinggi
image is not available
haziq04/12/2025 - 12:36 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 DisMajestic Gen meneruskan pengembangan agresifnya di Wilayah Utara dengan pelaburan RM75 juta bagi pembelian tanah milikan bebas di Jalan Anson, George Town.

 

Pembelian itu dilaksanakan menerusi Dynamic Gates Sdn Bhd (DGSB), syarikat tujuan khas (SPV) di bawah inisiatif penswastaan Paramount Corporation Bhd, melibatkan tiga lot tanah pegangan bebas bersebelahan dengan keluasan lantai kasar 295,508 kaki persegi. 

 

Hartanah tersebut kini disewakan kepada Kolej Universiti UOW Malaysia KDU Penang.

 

Harga belian RM75 juta, yang melebihi penilaian RM70 juta bertarikh 13 November 2025, mencerminkan tahap keyakinan tinggi Majestic Gen terhadap potensi komersial jangka panjang lokasi berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Majestic Gen, Datuk Hoo Kim See berkata pembelian itu menjadikan Pulau Pinang sebagai antara pasaran pertumbuhan utama kumpulan.

 

“Pulau Pinang terus menjadi pasaran yang kukuh dan berkembang. Pemerolehan ini selaras dengan aspirasi syarikat untuk membangunkan projek yang memberi manfaat sebenar kepada masyarakat dalam jangka panjang,” katanya.

 

Dari sudut lokasi, Jalan Anson terletak di kawasan urban Pulau Pinang dengan akses terus ke hab komersial, perubatan, pendidikan dan budaya, menjadikannya sesuai untuk perancangan pembangunan bertingkat tinggi pada masa hadapan.

 

Pengarah Eksekutif Majestic Gen, Ta Wee Dher berkata tanah tersebut menjadi asas penting kepada pelan pertumbuhan seterusnya di negeri itu.

 

“Keunikan lokasi ini menawarkan potensi besar untuk pembangunan berskala tinggi sambil mengekalkan keaslian George Town,” katanya.

 

Pelaburan RM75 juta di Jalan Anson dibuat selepas kejayaan pelancaran projek Majestic Aman pada Julai 2025, yang mempunyai 73 unit rumah teres dua tingkat dan 23 unit pejabat kedai dua tingkat di atas tanah seluas 5.66 ekar, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM66.8 juta.

 

Selain itu, Majestic Gen turut terlibat dalam Suling Hill Development Sdn Bhd, usaha sama dengan AME Elite Consortium Berhad, bagi pembangunan Northern TechValley di BKE seluas 176 ekar dengan anggaran GDV RM1.3 bilion. - DagangNews.com

Terkini standard