Majlis Daerah Putatan dan Lembaga Sukan Sabah pertingkat penyelenggaraan longkang

21 Nov 2025 • 5:28 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

MAJLIS Daerah Putatan (MDP) akan mempertingkat usaha menyelenggara longkang belakang rumah di Taman Bersatu Fasa 2 manakala Lembaga Sukan Sabah (LSS) berjanji melakukan perkara sama bagi longkang di sekitar trek joging di Kompleks Sukan Kota Kinabalu.

Langkah ini susulan maklum balas berasingan daripada seorang pembayar cukai di Putatan dan seorang pengguna trek di Likas mengenai kurangnya penyelenggaraan kemudahan tersebut.

Pemilik rumah itu meluahkan kebimbangan mengenai air hujan yang bertakung di kawasan rumahnya ketika hujan lebat.

Beliau menyedari air larian tidak disalurkan dengan cepat ke longkang utama berhampiran kediamannya.

Masalah takungan itu telah dilaporkan sebanyak empat kali kepada Majlis dalam tempoh sebulan setengah tetapi tiada tindakan diambil.

Sementara itu pengguna trek joging mengadu mengenai bau busuk yang datang daripada beberapa longkang di sekitar trek.

Menurutnya struktur longkang itu tersumbat dengan daun kering dan dipenuhi rumpai.

Selama enam bulan lalu beliau kerap berjoging di situ dan mendakwa longkang tidak pernah dibersihkan sepanjang tempoh tersebut.

Maklumat terperinci mengenai rungutan ini telah disalurkan kepada Hotline yang kemudianya diteruskan kepada Majlis dan LSS.

Seorang jurucakap Majlis berkata pemeriksaan awal dilakukan di Taman Bersatu tidak lama selepas itu.

“Kakitangan kami mendapati tumbuhan air tumbuh subur di dalam longkang belakang rumah di Lorong Linsuk. Ini menyebabkan aliran air tidak lancar dan bertakung,” katanya.

Beliau menambah rumput di bahu jalan juga didapati terlalu panjang.

Enam pekerja Majlis kembali ke kawasan tersebut pada hari yang sama untuk menangani masalah itu.

“Kakitangan kami menggali mendapan dan rumpai dari longkang menggunakan cangkul. Mesin pemotong rumput kemudiannya digunakan untuk membersihkan rumput di rizab longkang. Kami juga membersihkan longkang tepi jalan dan merapikan tanaman di kawasan bersebelahan,” jelas jurucakap itu.

Beliau menegaskan kerja itu dilakukan atas dasar timbang rasa kerana struktur dan tanah kerajaan tersebut bukan di bawah bidang kuasa Majlis.

Konsesi kerajaan bertanggungjawab menyelenggara kawasan awam tersebut dan Majlis telah meminta syarikat berkenaan meningkatkan usaha penyelenggaraan longkang hadapan rumah serta tanah rizab berhampiran.

Ditanya tentang kekerapan longkang belakang rumah di Taman Bersatu dibersihkan jurucakap Majlis berkata ia dilakukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali setahun.

“Kami tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk konsisten dengan jadual itu. Kawasan pentadbiran kami luas dan pasukan enam orang kami tidak boleh berada di semua tempat pada masa sama. Jadi kami mengurus longkang dan kawasan bahu jalan mengikut keperluan,” katanya.

Kawasan kediaman dan komersial yang diuruskan oleh Majlis meliputi kira-kira 29.7 kilometer persegi.

Bagi trek joging jurucakap LSS berkata longkang di kawasan tersebut telah dibersihkan minggu lalu.

“Tiga pekerja kami mengambil masa dua hari untuk membersihkan semua longkang. Longkang ini menyalurkan air dari trek sepanjang lebih satu kilometer.

“Pentadbiran Kompleks Sukan berusaha memastikan longkang dibersihkan setiap bulan atau mengikut keperluan,” jelasnya.