
LEMBAGA Sukan Sabah (SSB) akan mempertingkat usaha penyelenggara asetnya termasuk tandas di Kompleks Sukan Penampang serta sebidang tanah kosong miliknya di Likas.
Tindakan itu diambil selepas menerima maklum balas berasingan daripada seorang pelari joging di Penampang dan seorang pemandu di Likas berhubung keadaan kedua-dua harta tersebut.
Pelari itu tidak berpuas hati dengan kemudahan tandas yang rosak di Padang B Kompleks berkenaan manakala pemandu terbabit menegur bahaya lalu lintas yang ditimbulkan oleh pokok dan semak samun yang tidak terurus di tanah kosong bertentangan Wisma Wanita.
Kedua-dua individu tersebut mengemukakan aduan mereka kepada Hotline dan maklumat itu telah disalurkan kepada pihak Lembaga.
Jurucakap SSB berkata pemeriksaan telah dijalankan di Padang B dan tanah kosong di Batu Tiga Setengah Jalan Tuaran sebaik sahaja pihaknya dihubungi oleh media.
Beliau menjelaskan terdapat dua tandas berhampiran padang berkenaan – satu untuk lelaki dan satu untuk wanita.
“Petugas kami mendapati pemegang paip di dalam tandas berkenaan telah hilang.
“Kami mengesyaki ia mungkin telah dirosakan atau tercabut akibat penggunaan kasar,” katanya.
Beliau berkata kakitangan Bahagian Kejuruteraan Kompleks kemudian telah menggantikan pemegang paip tersebut dengan yang baharu.
“Kami bercadang untuk menutup kawasan tandas ini dengan pagar besi bagi mengelak penyalahgunaan dan memastikan kebersihannya.
“Hanya mereka yang menempah Padang B akan dibenarkan menggunakan tandas selepas pagar dipasang,” tambahnya.
Katanya SSB juga telah melantik kakitangan pembersihan untuk memastikan tandas di kompleks sentiasa bersih.
“Mereka mencuci mangkuk tandas serta menyental lantai di dalam dan luar tandas secara berkala.
“Selepas pagar dipasang kerja pembersihan akan dilakukan apabila terdapat tempahan daripada orang awam untuk menggunakan padang tersebut,” katanya.
Berhubung tanah kosong milik SSB berhampiran Wisma Wanita jurucakap itu berkata sekumpulan pekerja telah memotong rumput dan membersihkan semak di kawasan tersebut. Kerja itu mengambil masa dua hari untuk disiapkan.
Apabila ditanya sama ada pokok di sekeliling kawasan itu telah dipangkas beliau berkata pihaknya tidak mempunyai peralatan yang sesuai untuk melakukannya.
“Kami sedang menunggu peruntukan bagi membeli peralatan seperti gergaji rantai tangan untuk kerja pemangkasan pokok.
“Sementara itu kami akan memantau keadaan kawasan tersebut dari semasa ke semasa supaya tidak dibiarkan semak kembali,” ujarnya.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada awalnya dimaklumkan mengenai aduan pemandu itu.
Jurucakap Jabatan Landskap agensi itu berkata kakitanganya telah memeriksa keadaan tebing jalan dari persimpangan Jalan Tuaran hingga ke jalan menuju Wisma Wanita.
“Mereka mendapati tanah kosong berkenaan seolah-olah sudah menjadi hutan kecil dengan pokok tinggi yang hampir melimpah ke jalan.
“Kakitangan kami berpendapat kawasan itu tidak diselenggara sejak sekian lama,” katanya.
Beberapa hari kemudian pasukan Landskap kembali ke kawasan itu dan membersihkan semak di bahu jalan.
“Tujuh pekerja daripada Unit Khas kami memotong rumput panjang hingga enam inci dari tepi jalan dan memangkas pokok yang tumbuh liar di tanah rizab.
“Sebuah lori terbuka empat tan turut digunakan untuk membantu kerja-kerja ini,” katanya.
Tambah jurucakap itu jika perlu surat peringatan akan dihantar kepada pemilik tanah supaya menyelenggara harta mereka secara berkala termasuk memangkas pokok yang tumbuh liar.
“Pemilik tanah kosong sebaiknya memastikan kawasan mereka diselenggara setiap bulan supaya tidak menjadi gangguan awam,” katanya.
Menurutnya mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mahkamah di bawah Seksyen 49 Ordinan Kerajaan Tempatan 1961 yang memperuntukan denda sehingga RM1,000 jika sabit kesalahan.

