Majlis Halal Malaysia - Indonesia perkukuh diplomasi industri halal dua negara - Ahmad Zahid

LocalBusiness & Finance
25 Sep 2026 • 4:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Majlis Halal Malaysia - Indonesia perkukuh diplomasi industri halal dua negara - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid berucap pada Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026 dan MIHAS ke-22 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan Majlis Halal Malaysia - Indonesia dalam usaha memperkukuhkan diplomasi industri halal kedua-dua negara.

Beliau berkata, majlis berkenaan dipengerusikan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia manakala Malaysia bertindak sebagai setiausaha agung.

Tambahnya, mesyuarat pertama majlis itu akan diadakan pada Oktober depan.

"Penubuhan majlis itu menawarkan titik permulaan bagi aspirasi lebih luas melalui kerjasama dua hala.

"Ia membolehkan kita mengenal pasti langkah-langkah pratikal memudahkan pengiktirafan, mengurangkan pertindihan dan menghubungkan perniagaan kita dengan rantaian bekalan serantau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026 dan MIHAS ke-22 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, persefahaman turut termeterai dengan memudah cara pensijilan dan perdagangan halal antara kedua-dua negara.

Tambah beliau, Malaysia mempunyai pengalaman dalam bidang piawaian, tadbir urus, kewangan Islam dan pemudahcaraan perdagangan manakala Indonesia mempunyai kelebihan dari segi skala, kapasiti pengeluaran dan semangat keusahawanan.

"Inilah tujuan diplomasi halal iaitu memanfaatkan kepercayaan yang telah kita bina untuk membuka pasaran, memudahkan pelaburan dan mewujudkan peluang secara bersama.

"Akhirnya, manfaatnya harus dirasai oleh perniagaan yang ingin berkembang serta rakyat yang mendambakan kehidupan yang lebih baik," katanya.

Katanya lagi, kerjasama itu perlu diterjemahkan kepada pengurangan halangan, akses pasaran yang lebih mudah dan peningkatan syarikat menjalankan perdagangan merentas sempadan.

MIHAS 2026 dianjurkan MITI dan dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) sehingga Sabtu itu.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved