
PETALING JAYA – Nestle Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memeterai kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.
Usaha itu memperluas aspek halal dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) menerusi program HalSTEM, dengan memberikan lebih ramai pelajar sekolah menengah pendedahan praktikal terhadap sains, teknologi dan inovasi yang memacu industri halal.
Menggabungkan pengalaman industri Nestle Malaysia sebagai Pusat Kecemerlangan Halal bagi Nestle di peringkat global dengan kepakaran UPM dalam bidang sains dan penyelidikan halal, ia bertujuan untuk menambah baik dan melaksanakan modul HalSTEM, latihan pendidik dan aktiviti menyantuni pelajar.
Kerjasama ini juga sebahagian daripada pakatan SYNERGY Halal Nestle Malaysia dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, satu inisiatif holistik untuk memupuk sebuah ekosistem halal yang menyeluruh merangkumi kesedaran pengguna, pembangunan bakat, pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana, serta pembangunan rakan logistik serta rantaian bekalan halal.
Ketua Hal Ehwal Halal, Nestle Malaysia, Nasrul Hadi Mohamed Nor berkata, halal menjadi asas operasi dan kepercayaan yang diletakkan oleh rakyat Malaysia terhadap syarikat.
“Sebagai Pusat Kecemerlangan Halal Global Nestle, kami menyedari kepentingan untuk berkongsi pengalaman untuk mengukuhkan ekosistem halal dengan lebih luas.
“Menerusi HalSTEM, kami bertekad untuk membantu anak-anak muda Malaysia memahami bagaimana sains, teknologi, dan inovasi menyokong jaminan dan kualiti halal.
“Dengan menggabungkan pembelajaran bilik darjah dengan pendedahan industri, kami berharap untuk meningkatkan minat terhadap STEM dan memberi inspirasi kepada bakat generasi akan datang dalam sektor halal,” katanya.
Menerusi HalSTEM, pelajar akan mengambil bahagian dalam aktiviti amali yang menunjukkan bagaimana konsep STEM diguna pakai dalam jaminan halal dan industri makanan.
Ini termasuk penentusahan halal berasaskan mikroskopi, perbandingan ramuan berasaskan tumbuhan dan haiwan, alat kecerdasan buatan, penapisan air dan pembuatan sabun sertu, dan juga pengiraan khasiat pemakanan. – KOSMO! ONLINE
The post Nestle Malaysia, UPM perkasa aspek halal dalam pendidikan STEM appeared first on Kosmo Online.






