
MAJLIS Perbandaran Penampang (MPP) sedang mempertimbangkan pemasangan lampu solar di beberapa kawasan di Bandar Baru Penampang manakala Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mempergiat usaha memastikan jalan utama antara City Mall dan Metro Town sentiasa diterangi pada waktu malam.
Langkah itu diambil susulan maklum balas mengenai risiko keselamatan yang berpunca daripada keadaan jalan yang gelap di sekitar kawasan komersial terbabit.
Orang ramai yang membangkitkan isu tersebut telah menyalurkan maklumat terperinci kepada Hotline sebelum aduan berkenaan dipanjangkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut.
PEKERJA kontraktor DBKK menggantikan 12 mentol SON bagi lampu di pembahagi jalan berhampiran City Mall.Jurucakap MPP berkata pihaknya merancang untuk menambah baik sistem pencahayaan awam di sekitar deretan kedai di Bandar Baru Penampang, tertakluk kepada peruntukan kewangan yang tersedia.
Menurutnya kakitangan Jabatan Kejuruteraan majlis telah menjalankan pemeriksaan di jalan-jalan sekitar kawasan berkenaan bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pemasangan kemudahan tersebut.
“Cadangan untuk memasang lampu solar di kawasan yang lebih kritikal akan dikemukakan kepada pihak pengurusan agensi.
“Pegawai atasan akan menilai sama ada Majlis berupaya melaksanakan penambahbaikan tersebut,” katanya.
Sementara menunggu keputusan dibuat, jurucakap itu berkata tindakan segera telah diambil bagi membaiki lampu jalan sedia ada yang rosak. Ujarnya mentol bagi 15 lampu, termasuk di Jalan Penampang Baru, didapati rosak dan telah diganti serta-merta.
JENTERA skylift digunakan bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan lampu di jalan utama berhampiran Metro Town.“Juruteknik kami turut mengetatkan sambungan pada kemudahan pencahayaan tersebut,” tambahnya.
Beliau berkata sebuah jentera skylift telah digunakan bagi memudahkan kerja-kerja pembaikan berkenaan.
“Pasukan kontraktor juga bercadang untuk membaiki lampu yang dipasang pada struktur julur dan bahagian lain bangunan di kawasan ini namun usaha tersebut terhalang oleh kenderaan yang diletakkan di sekitar blok-blok berkenaan.
“Juruteknik terbabit akan kembali pada masa yang lebih sesuai untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut,” jelasnya.
Apabila ditanya mengenai kekerapan penyelenggaraan lampu jalan di sekitar Penampang, jurucakap itu berkata kerja-kerja berkenaan akan dilakukan mengikut keperluan.
“Bagaimanapun kami telah meminta kakitangan supaya lebih peka terhadap keadaan kemudahan tersebut dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang kerosakan demi kepentingan orang ramai,” katanya.Sementara itu jurucakap Jabatan Kejuruteraan DBKK berkata kakitangannya turut diarahkan supaya lebih teliti dalam memantau keadaan lampu jalan di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu.
Menurutnya DBKK tidak mempunyai jadual penyelenggaraan tetap bagi kemudahan pencahayaan awam berkenaan.
Berhubung Jalan Lintas, beliau berkata masalah teknikal dikenal pasti sebagai punca utama lampu jalan di sekitar City Mall dan Metro Town tidak berfungsi dengan baik.
“Kontraktor elektrik kami telah membaiki komponen yang rosak pada sistem lampu di lokasi berkenaan.
“Pasukan tersebut telah menggantikan 12 unit ballast 250 watt, ignitor dan mentol natrium tekanan tinggi (high-pressure sodium) bagi lampu yang dipasang di pembahagi jalan utama berhampiran City Mall,” maklumnya.
Juruteknik berkenaan turut memasang tiga pemutus litar kecil (MCB) dan sambungan neutral yang baharu di kawasan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa ballast berfungsi mengawal arus elektrik yang disalurkan kepada lampu serta membekalkan voltan yang mencukupi untuk menghidupkannya.
Sementara itu ignitor bertindak sebagai pemula yang meningkatkan voltan awal bagi membolehkan lampu menyala.
“MCB pula berfungsi mengelakkan bahaya elektrik dengan mengesan serta memutuskan bekalan sekiranya berlaku arus luar biasa atau litar pintas,” katanya.
Bagi kawasan Metro Town, jurucakap itu berkata pasukan kontraktor telah menggantikan dua mentol natrium tekanan tinggi 250 watt dan dua lampu 120 watt yang rosak.
“Selepas kerja-kerja pembaikan selesai, lampu di kedua-dua lokasi itu dipantau untuk tempoh tertentu bagi memastikan pencahayaan kekal stabil,” ujarnya.






