Majlis Perbandaran Penampang perketat penguatkuasaan terhadap penjaja haram

9 Jan 2026 • 2:35 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

MAJLIS Perbandaran Penampang (MPP) memperketat penguatkuasaan terhadap penjaja dan peniaga yang beroperasi tanpa mematuhi peraturan dengan jumlah kompaun berjumlah RM400 dikeluarkan sepanjang tiga minggu lalu di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja 1978.

Jurucakap Majlis berkata seorang peniaga kedai didenda RM100 kerana pekerjanya tidak memiliki kad kesihatan yang sah.

“Seorang lagi dikenakan kompaun RM300 kerana gagal mendapatkan permit daripada Majlis.

“Kita bertindak tegas kerana staf kami telah menasihati peniaga berkenaan untuk memohon permit sebelum ini,” katanya.

Menurut jurucakap itu peniaga tersebut antara lapan individu yang didapati beroperasi secara haram semasa empat pemeriksaan berasingan sejak 15 Disember.

“Semua pesalah diarahkan menutup gerai dan mengeluarkan barangan dengan segera.

“Namun kita menunjukan sikap ringan terhadap tujuh individu lain kerana ini adalah kali pertama mereka ditangkap tanpa permit.

“Mereka tidak dikompaun sebaliknya diberi tempoh masa untuk memohon permit,” tegasnya.

Beliau menyatakan pemeriksaan susulan akan dijalankan kemudian dan tindakan lanjut akan diambil terhadap mana-mana penjaja yang gagal mematuhi peraturan.

“Dalam kes paling serius tindakan undang-undang boleh dimulakan.

“Sekiranya didapati bersalah di mahkamah peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500, penjara sehingga dua minggu atau kedua-duanya,” ujarnya.

Lebih 27 gerai di tujuh lokasi sekitar Majlis diperiksa dengan pemeriksaan terkini dilakukan pada Selasa lalu.

Antara kawasan yang diperiksa termasuk Country Heights Plaza, Beverly Hills Plaza, Grand Millennium Plaza, Kampung Bahang, Jalan Pintas Penampang serta bandar Donggongon dan Koidupan.

Jurucakap itu berkata pasukan penguatkuasa yang terdiri daripada tiga hingga lima pegawai menjalankan pemeriksaan tersebut dan dalam satu keadaan turut dibantu oleh pegawai dari Bahagian Kesihatan Majlis.

“Tumpuan diberikan kepada gerai menjual mercun, makanan, buah bermusim dan minuman,” katanya.

Tindakan penguatkuasaan itu dibuat susulan maklum balas orang awam mengenai gangguan yang disebabkan gerai-gerai di kaki lima Jalan Dontozidon kepada pejalan kaki.

Individu berkenaan menyatakan mereka perlu berhati-hati agar tidak terlanggar halangan yang boleh menyebabkan kecederaan.

Selepas menerima aduan media pemeriksaan dilakukan di kawasan antara blok kedai di pusat komersial berkenaan namun pihak penguatkuasa MPP tidak menemui sebarang pelanggaran pada masa itu.

“Rekod kami menunjukan sebanyak 28 permit telah dikeluarkan untuk penjaja di kawasan ini. Semasa pemeriksaan hanya 14 gerai ditemui dan tiada seorang pun didapati beroperasi secara haram,” kata jurucakap terbabit.

Staf Majlis turut mengingatkan setiap penjaja tentang keperluan mematuhi Undang-Undang Kecil Majlis dan memberi penerangan mengenai tindakan yang akan dikenakan sekiranya peraturan dilanggar.

“Kami akan terus memantau aktiviti di kawasan ini bagi memastikan orang awam tidak terganggu oleh gerai-gerai yang didirikan di kawasan umum antara blok kedai,” katanya.