johardy23/11/2026 - 15:23 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Majlis Perundingan Melayu (MPM) menggesa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menangguhkan pemuktamadan cadangan penjualan Boustead Plantations Berhad (BPlant) kepada Achi Jaya Plantations Sdn Bhd, yang dilaporkan bernilai kira-kira RM4.3 bilion, sehingga semua persoalan utama mengenai urus niaga itu dijawab secara rasmi.
Pengerusi Biro Politik, Kepimpinan dan Pentadbiran Negara MPM, Shahbudin Embun, dalam kenyataan media hari ini berkata LTAT perlu menjelaskan kewajaran penjualan itu ketika hasil dan keuntungan operasi BPlant bagi FY2025 dilaporkan meningkat, manakala jumlah pinjamannya berkurang.

Beliau turut meminta LTAT menjelaskan siapa pemilik benefisial muktamad Achi Jaya, bagaimana pembelian itu akan dibiayai dan apakah jaminan untuk melindungi tanah perladangan BPlant.
MPM turut menggesa LTAT menilai semula tawaran SD Guthrie Berhad dan Tradewinds Plantation Berhad secara objektif serta memberi pertimbangan serius kepada SD Guthrie sebagai alternatif sekiranya tawarannya memberi nilai lebih baik dan perlindungan lebih kukuh kepada kepentingan negara.
MPM turut meminta kerajaan memastikan sebarang keputusan melindungi kepentingan pencarum LTAT, anggota tentera, veteran dan pemilikan Bumiputera.
ARTIKEL BERKAITAN: BPlant sudah untung, hutang berkurang, mengapa LTAT masih mahu jual?

Berikut adalah kenyataan media penuh MPM:
Cadangan penjualan Boustead Plantations bernilai RM4.3 bilion — Kepentingan negara, pemilikan Bumiputera dan aset strategik negara mesti diutamakan!
MPM gesa LTAT beri penjelasan menyeluruh dan pertimbangkan secara serius SD Guthrie sebagai alternatif
Majlis Perundingan Melayu (MPM) memandang serius laporan mengenai cadangan pengambilalihan Boustead Plantations Berhad (BPlant) oleh Achi Jaya Plantations Sdn Bhd, yang dilaporkan bernilai kira-kira RM4.3 bilion.
Perkara ini perlu dinilai dalam konteks yang lebih luas daripada keuntungan korporat, harga tawaran atau keupayaan pembeli untuk menyempurnakan urus niaga.
Keutamaan mesti diberikan kepada kepentingan negara, pemilikan Bumiputera, kepentingan pencarum Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan pemeliharaan aset strategik negara untuk generasi akan datang.
BPlant ialah sebuah syarikat yang berkepentingan strategik. Syarikat itu memiliki kepentingan perladangan yang luas di seluruh Semenanjung Malaysia dan mempunyai nilai strategik dalam sektor komoditi negara.
Penilaian aset seperti ini mesti mengambil kira nilai pasaran semasa serta potensi sumbangannya kepada ekonomi negara dalam jangka panjang.
MPM menegaskan setiap keputusan untuk melupuskan aset strategik seperti ini mesti dibuat dengan usaha wajar, ketelusan dan kebertanggungjawaban penuh.
1. Mengapa jual BPlant ketika prestasinya menunjukkan tanda pemulihan?
Laporan kewangan yang dipetik DagangNews pada 23 November 2026 menunjukkan BPlant mencatat peningkatan hasil dan keuntungan operasi bagi FY2025, di samping pengurangan jumlah pinjaman.
Persoalannya mudah. Jika kedudukan operasi dan kewangan syarikat menunjukkan perkembangan positif, mengapakah LTAT masih berhasrat melupuskan aset perladangan ini?
Adakah LTAT benar-benar memerlukan wang tunai dengan segera?
Adakah terdapat keperluan strategik yang mendesak untuk melupuskan kepentingan perladangan ini?
Adakah perbandingan sewajarnya telah dibuat antara hasil sekali sahaja daripada penjualan itu dengan potensi dividen, pendapatan dan kenaikan nilai aset dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang?
MPM menggesa LTAT menjelaskan kepada pencarum dan orang ramai asas kewangan dan strategik bagi cadangan pelupusan ini.
Aset strategik yang berpotensi menjana pulangan jangka panjang tidak wajar dilepaskan semata-mata untuk mengejar keuntungan jangka pendek daripada urus niaga.
2. Siapakah pemilik benefisial muktamad Achi Jaya?
Ini antara persoalan terpenting yang memerlukan penjelasan rasmi.
Laporan media dan kebimbangan yang dibangkitkan beberapa pihak menunjukkan 73.78% kepentingan pegangan saham dalam Achi Jaya dikaitkan dengan dua syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, iaitu Herolite Investment Ltd dan Grand Shine Trading Ltd.
Jika angka dan struktur ini tepat, siapakah pemilik benefisial muktamad di sebalik kedua-dua syarikat tersebut?
Apakah hak mengundi, hak penukaran saham atau perjanjian antara pemegang saham yang boleh mempengaruhi kawalan sebenar syarikat?
MPM berpandangan pemilikan asing semata-mata belum cukup untuk menyimpulkan berlakunya pelanggaran undang-undang atau kehilangan kawalan Bumiputera.
Dalam urus niaga sebesar ini, LTAT mesti menjelaskan siapa yang sebenarnya menguasai syarikat pembeli, dari mana sumber modalnya dan siapa yang akhirnya berkuasa membuat keputusan korporat selepas pengambilalihan.
Status Bumiputera di atas kertas sahaja belum menjamin pemilikan benefisial dan kuasa membuat keputusan kekal di tangan Bumiputera.
Perkara ini mesti diteliti sepenuhnya sebelum sebarang urus niaga dimuktamadkan.
3. Mengapa SD Guthrie belum diberi pertimbangan yang lebih serius?
MPM ingin membangkitkan persoalan mengenai kedudukan SD Guthrie Berhad dan Tradewinds Plantation Berhad, yang turut dilaporkan menyertai proses bidaan.
SD Guthrie mempunyai pengalaman luas dalam industri perladangan dan merupakan antara peneraju sektor minyak sawit dunia.
Jika sesebuah syarikat tempatan mempunyai keupayaan operasi, pengalaman industri, kekuatan kewangan dan struktur pemilikan yang dapat menjaga kepentingan negara, mengapakah pilihan tersebut belum diberi pertimbangan sewajarnya?
MPM mencadangkan LTAT menilai semula tawaran SD Guthrie secara telus dengan mengambil kira perkara berikut.
- Harga dan nilai keseluruhan tawaran.
- Keupayaan kewangan dan kepastian pembayaran.
- Struktur pemilikan dan kawalan syarikat.
- Keupayaan mengurus dan membangunkan ladang.
- Jaminan untuk melindungi kepentingan Bumiputera.
- Komitmen jangka panjang kepada pencarum LTAT dan warga Angkatan Tentera.
MPM berpandangan SD Guthrie wajar dipertimbangkan secara serius sebagai alternatif jika cadangannya menawarkan nilai lebih baik dan perlindungan lebih kukuh kepada kepentingan negara.
Nama syarikat sahaja tidak memadai untuk menentukan keputusan. Kepentingan negara secara keseluruhan mesti menjadi faktor penentu.
4. Tujuh persoalan penting yang mesti dijawab LTAT
MPM mengemukakan tujuh persoalan asas yang memerlukan penjelasan rasmi daripada LTAT.
Pertama — Ketelusan dalam pemilihan pembeli
Apakah kriteria yang digunakan LTAT untuk menilai tawaran yang bersaing? Apakah wajaran bagi setiap kriteria dan apakah kelebihan sebenar tawaran Achi Jaya berbanding tawaran SD Guthrie dan Tradewinds?
Bolehkah laporan penilaian penasihat bebas didedahkan kepada pihak berkepentingan?
Kedua — Pemilikan Bumiputera dan kawalan sebenar
Adakah LTAT telah mengesahkan pemilikan benefisial muktamad Achi Jaya, termasuk kedudukan pemegang sahamnya di Hong Kong dan struktur korporat luar pesisirnya?
Bagaimanakah LTAT akan memastikan kawalan sebenar kekal di tangan Bumiputera selepas urus niaga?
Ketiga — Keupayaan kewangan pembeli
Adakah Achi Jaya mempunyai komitmen pembiayaan yang mengikat bagi urus niaga bernilai berbilion ringgit ini?
Berapakah bahagian daripada pembiayaan pengambilalihan yang akan datang daripada modal sendiri, pinjaman luar dan pembiayaan yang mungkin menggunakan aset BPlant sebagai cagaran?
LTAT mesti memastikan pembeli mampu menyempurnakan urus niaga tanpa menjejaskan aset yang diambil alih. Harga tawaran yang menarik sahaja tidak memadai.
Keempat — Jaminan terhadap penjualan tanah ladang sewenang-wenangnya
Adakah pembeli akan dibenarkan menjual, memindah milik atau menukar guna tanah ladang selepas pengambilalihan?
Jika dibenarkan, apakah langkah perlindungan dan sekatan yang akan dikenakan?
MPM menggesa supaya sebarang pelupusan aset tanah strategik tertakluk kepada kawalan dan mekanisme kelulusan yang jelas melalui perjanjian yang mengikat di sisi undang-undang dan boleh dikuatkuasakan.
Kami tidak mahu tanah ladang dijual pada masa hadapan semata-mata untuk membayar balik pembiayaan pengambilalihan.
Kelima — Perlindungan bagi baki pegangan 25% LTAT
Jika LTAT mengekalkan pegangan minoriti sebanyak 25%, apakah perlindungan dari segi undang-undang dan tadbir urus korporat yang akan diberikan?
Bagaimanakah LTAT boleh menghalang pelupusan aset penting, peningkatan hutang yang tidak munasabah atau urus niaga pihak berkaitan yang boleh menghakis nilai pelaburannya?
Keenam — Audit bebas dan kebertanggungjawaban
Adakah LTAT bersedia melantik pihak bebas untuk menyemak keseluruhan proses penilaian, pemilihan pembeli dan struktur urus niaga?
MPM menggesa supaya dapatan utama semakan itu didedahkan kepada pihak berkepentingan sebelum perjanjian muktamad ditandatangani, tertakluk kepada keperluan undang-undang yang terpakai dan kewajipan yang sah untuk menjaga kerahsiaan komersial.
Ketujuh — Mengapa iktibar daripada cadangan urus niaga dengan KLK pada 2023 belum diambil kira?
Cadangan pengambilalihan BPlant oleh Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) pada 2023 ditamatkan susulan bantahan dan kebimbangan mengenai pemilikan serta kawalan aset strategik.
Apakah perubahan dasar dan kriteria penilaian yang diperkenalkan susulan pengalaman itu?
Mengapakah persoalan mengenai pemilikan, kawalan dan kepentingan Bumiputera timbul sekali lagi dalam cadangan urus niaga ini?
LTAT mesti menjelaskan perkara ini bagi memelihara keyakinan pencarum dan orang ramai.
5. Kepentingan negara mesti mengatasi nilai urus niaga
MPM ingin menarik perhatian Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan kepada implikasi isu ini yang jauh melangkaui urusan jual beli sebuah syarikat perladangan.
LTAT ialah institusi yang bertanggungjawab mengurus simpanan dan faedah persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang layak.
Oleh itu, kepentingan anggota tentera yang sedang berkhidmat, veteran, pesara dan keluarga mereka mesti kekal sebagai pertimbangan utama.
Kami menggesa kerajaan memastikan proses ini menjunjung sepenuhnya prinsip tadbir urus yang baik, kepentingan pencarum dan keutamaan strategik negara.
Kami turut menggesa agar keputusan muktamad hanya dibuat selepas semua persoalan penting mengenai pemilikan benefisial, keupayaan pembiayaan, penilaian tanah dan perlindungan aset dijawab dengan sewajarnya.
Pendirian ini selaras dengan keterbukaan Malaysia terhadap pelaburan asing yang membawa manfaat kepada negara.
Apabila aset strategik yang melibatkan kepentingan pencarum dan pemilikan Bumiputera dipertaruhkan, kawalan sebenar ke atas aset itu dan kepentingan jangka panjang Malaysia mesti diberi pertimbangan sewajarnya.
6. Jangan ulangi kesilapan lalu dalam pelupusan aset negara
MPM ingin menyampaikan satu peringatan penting.
Aset yang telah dijual dan bertukar tangan mungkin sukar diperoleh semula.
Kita telah menyaksikan pelbagai aset perniagaan dan kepentingan strategik yang pernah dimiliki pihak tempatan akhirnya bertukar tangan.
Apabila kawalan sudah berpindah tangan, tiada jaminan aset berkenaan dapat dibeli semula pada masa hadapan.
Atas sebab itu, keputusan hari ini mesti mengambil kira kepentingan generasi akan datang.
Nilai RM4.3 bilion sahaja tidak memadai untuk mengukur kejayaan penjualan ini.
Kita mesti bertanya perkara berikut.
- Berapakah nilai sebenar aset yang akan dilepaskan?
- Apakah pendapatan dan potensi pulangan masa hadapan yang akan terlepas?
- Siapakah yang akhirnya akan menguasai tanah dan operasi perladangan?
- Apakah jaminan bahawa kepentingan Bumiputera dan negara akan terus dilindungi?
Kita tidak boleh menerima hasil jualan hari ini dengan risiko kehilangan aset strategik negara buat selama-lamanya.
7. MPM cadang pemuktamadan ditangguhkan dan pilihan terbaik dinilai semula
MPM mengemukakan cadangan berikut.
- LTAT perlu menangguhkan pemuktamadan urus niaga sehingga semua persoalan utama dijawab secara rasmi.
- Semakan bebas perlu dijalankan terhadap proses bidaan, penilaian, struktur pemilikan dan keupayaan kewangan pembeli.
- Struktur pemilikan benefisial muktamad dan hak kawalan sebenar pembeli mesti disahkan secara menyeluruh.
- LTAT mesti memastikan tanah ladang BPlant dilindungi melalui sekatan dan perjanjian yang boleh dikuatkuasakan.
- Tawaran SD Guthrie dan Tradewinds perlu dinilai semula secara objektif berdasarkan nilai komersial dan kepentingan strategik negara.
- Kerajaan mesti memastikan sebarang keputusan muktamad tidak menjejaskan kepentingan pencarum LTAT, anggota Angkatan Tentera, veteran dan masyarakat Bumiputera.
- Hasil penilaian dan alasan keputusan perlu dijelaskan secara telus kepada pihak berkepentingan, tertakluk kepada peraturan dan kewajipan pendedahan yang terpakai.
Rumusan — Tanah dan aset strategik negara mempunyai nilai melangkaui urus niaga komersial
MPM menerima prinsip perniagaan, persaingan terbuka dan keperluan memperoleh pulangan pelaburan sebaik mungkin.
Keuntungan komersial hanya satu daripada ukuran yang perlu dipertimbangkan apabila keputusan melibatkan aset strategik yang berkait langsung dengan kepentingan pencarum, pemilikan Bumiputera dan masa depan negara.
Kami mahu LTAT memperoleh nilai sebaik mungkin. Kami mahu kepentingan pencarum dilindungi. Kami mahu industri perladangan terus berkembang dan syarikat tempatan yang berkeupayaan diberi peluang yang adil.
Jika SD Guthrie mampu menawarkan nilai yang berdaya saing, jaminan kewangan yang kukuh dan perlindungan lebih baik kepada kepentingan negara, cadangannya wajar dipertimbangkan secara serius.
Penjualan aset strategik negara mesti disertai jaminan kukuh bahawa kepentingan Bumiputera, pencarum LTAT dan kepentingan jangka panjang Malaysia akan terus dilindungi.
Isu ini merentas politik kepartian. Ia melibatkan amanah, kepentingan negara dan masa depan generasi rakyat Malaysia.
Aset negara mesti diurus dengan integriti. Kepentingan Bumiputera mesti dilindungi. Kepentingan pencarum mesti diutamakan. - DagangNews.com





