BPlant sudah untung, hutang berkurang, mengapa LTAT masih mahu jual?

LocalPolitics
23 Nov 2026 • 10:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BPlant sudah untung, hutang berkurang, mengapa LTAT masih mahu jual? Image from: BPlant sudah untung, hutang berkurang, mengapa LTAT masih mahu jual? johardy23/11/2026 - 10:00 MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

Mengapa Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) masih mahu menjual Boustead Plantations Berhad (BPlant) sedangkan keputusan kewangan terbaharu menunjukkan hasil meningkat, keuntungan operasi bertambah dan hutang berkurang?

 

Persoalan ini semakin relevan apabila tiga syarikat dilaporkan bersaing mendapatkan BPlant, iaitu SD Guthrie Berhad, Tradewinds Plantation Berhad dan Achi Jaya Plantations Sdn Bhd.

 

Laporan media menyebut Achi Jaya dipilih sebagai pembida pilihan, sekali gus mengundang pertanyaan mengenai pertimbangan LTAT memilih syarikat persendirian berkenaan berbanding dua kumpulan perladangan yang lebih besar.

 

Achi Jaya sudah dipilih atau belum?

Dalam kenyataan rasmi pada 18 November lalu, LTAT menegaskan semua pembida dinilai berdasarkan kriteria ditetapkan lebih awal, termasuk kemampuan pembiayaan, kesesuaian strategik dan komitmen terhadap komuniti Angkatan Tentera.

 

LTAT turut menjelaskan saiz syarikat bukan satu-satunya ukuran. Semua pembida juga disahkan memenuhi syarat sebagai syarikat berkaitan kerajaan dan/atau syarikat Bumiputera.

 

Namun, LTAT tidak menamakan pembida pilihan, tetapi pada masa sama tidak menafikan secara khusus laporan media mengenai pemilihan Achi Jaya.

 

Sebaliknya, LTAT menegaskan proses transaksi masih berjalan dan belum ada perjanjian muktamad ditandatangani.

 

Ini menimbulkan persoalan sama ada pembida pilihan sudah dikenal pasti, tetapi pelaksanaan transaksi masih tertakluk kepada proses kelulusan selanjutnya.

LTAT

MERREPAK tidak mempertikaikan kelayakan Achi Jaya. Syarikat besar tidak semestinya menawarkan cadangan terbaik, manakala syarikat lebih kecil tidak semestinya kurang berkemampuan.

 

Jika LTAT mendapati tawaran Achi Jaya paling baik, keputusan itu boleh dipertahankan. Tetapi apakah kelebihan tawarannya berbanding SD Guthrie dan Tradewinds Plantation?

 

LTAT ialah badan berkanun yang ditubuhkan pada 1972 untuk mengurus caruman dan faedah persaraan anggota tentera yang layak. Justeru, anggota tentera dan veteran berhak mendapat penjelasan mengenai keputusan pelaburannya.

 

BPlant bukan syarikat yang sedang nazak

Penyata kewangan beraudit FY2025 menunjukkan hasil Kumpulan BPlant meningkat 9.1 peratus kepada RM1.027 bilion daripada RM941.01 juta pada FY2024.

 

Keuntungan operasi meningkat 6.8 peratus kepada RM174.96 juta daripada RM163.76 juta.

 

BPlant turut mencatat keuntungan bersih Kumpulan RM106.18 juta, manakala keuntungan yang boleh dikaitkan kepada pemegang saham induk berjumlah RM117.23 juta.

 

Memang benar keuntungan bersih menurun. Namun, FY2024 merangkumi keuntungan pelupusan aset perladangan RM218.33 juta, berbanding hanya RM3.82 juta pada FY2025.

 

Jumlah pinjaman pula berkurang RM247.75 juta kepada RM495.32 juta. BPlant turut menjana aliran tunai bersih operasi RM247.28 juta dan membayar dividen interim RM80.64 juta.

 

Angka ini tidak membuktikan BPlant bebas daripada cabaran. Namun, ia menunjukkan perniagaan yang masih menguntungkan, dengan prestasi operasi bertambah baik dan hutang berkurang.

 

Jual ketika pulih mungkin strategi korporat

Dari sudut korporat, menjual syarikat ketika prestasinya bertambah baik boleh menjadi strategi yang munasabah.

 

Pada 2023, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mencadangkan pembelian 33 peratus kepentingan BPlant pada RM1.55 sesaham, memberikan anggaran nilai keseluruhan ekuiti sekitar RM3.47 bilion. Cadangan itu kemudian ditamatkan.

 

Dengan prestasi kewangan FY2025, LTAT mungkin melihat peluang memperoleh harga yang menarik melalui proses bidaan terbaharu.

 

Nilai cadangan KLK juga boleh menjadi penanda aras perbandingan, walaupun LTAT belum mengesahkan sama ada nilai tersebut digunakan dalam penilaian semasa.

 

MERREPAK tidak mengatakan penjualan BPlant semestinya keputusan yang salah. Penjualan pada harga dan syarat yang menguntungkan mungkin mempunyai justifikasi komersial.


 

BPlant


Tetapi mengapa mesti jual?

Ada satu perkara menarik perhatian MERREPAK. Kenyataan LTAT begitu terperinci menjelaskan proses memilih pembeli, tetapi tidak menghuraikan rasional kewangan menjual BPlant ketika hasilnya sudah melepasi RM1 bilion, keuntungan operasi meningkat dan hutang berkurang.

 

Sedangkan persoalan mengapa perlu menjual mungkin jauh lebih penting daripada siapa yang layak membeli.

 

Inilah empat soalan maha penting yang LTAT perlu jawab:

1. Adakah LTAT memerlukan tunai segera bagi memenuhi komitmen kewangan, atau BPlant memerlukan modal besar untuk penanaman semula dan pembangunan ladang?

2. Sudahkah LTAT membandingkan hasil jualan sekali sahaja dengan potensi dividen, keuntungan dan peningkatan nilai aset BPlant untuk lima atau 10 tahun akan datang?

3. Berapakah nilai pasaran semasa tanah perladangan BPlant, dan adakah tawaran pembida pilihan mencerminkan nilai aset serta prospek pendapatannya?

4. Jika BPlant dikekalkan, berapakah pulangan yang dijangka diterima LTAT? Jika dijual, bagaimana hasil transaksi akan digunakan dan apakah pulangan yang disasarkan?

 

Semua ini persoalan komersial yang sah. Jawapannya penting untuk menilai sama ada penjualan lebih menguntungkan berbanding mengekalkan pelaburan.

 

LTAT sudah menjelaskan bagaimana pembida dinilai. Bagus. Tetapi LTAT belum menjelaskan mengapa BPlant yang masih menguntungkan perlu dijual sekarang.

 

Jangan sampai kita begitu teliti memilih siapa yang mahu membeli, tetapi kurang bersungguh menjelaskan mengapa aset itu perlu dilepaskan.

 

Anggota tentera sudah menjalankan tanggungjawab menjaga negara. Tidak keterlaluan jika mereka mengharapkan LTAT menjelaskan bagaimana kepentingan persaraan mereka terus dilindungi. - DagangNews.com

 

Johardy Ibrahim merupakan Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjayanya sebagai wartawan selama lebih 34 tahun. `Merrepak' ialah kolum pojok beliau yang mula diperkenalkan dalam Mingguan Malaysia pada 2009, menyentuh apa sahaja isu yang mencuit jiwa dan minda sepanjang minggu, atau yang membuatkannya mendengar lagu SIAPA ORANG KITA oleh KEMBARA berulang-ulang kali.
Merrepak Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved