Mekanisme gaji lebih telus bakal diteliti

Business & Finance
8 Sep 2026 • 7:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mekanisme gaji lebih telus bakal diteliti

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi akan meneliti mekanisme pembayaran gaji yang lebih terbuka dan telus, khususnya bagi memastikan golongan muda dan pekerja Bumiputera mendapat pulangan pendapatan yang lebih adil selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, cadangan itu antara perkara yang akan dibawa untuk pertimbangan kementerian susulan keperluan memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan gaji rakyat.

“Ketika ini, gaji median negara berada pada sekitar RM3,600, namun masih wujud jurang pendapatan, khususnya dalam kalangan Bumiputera.

“Selain itu, usaha meningkatkan bahagian pampasan kepada pekerja turut dilihat penting dengan memastikan tawaran gaji yang diberikan majikan lebih telus dan adil.

“Pendekatan berkenaan bagaimanapun tidak semestinya menetapkan satu kadar gaji mutlak, sebaliknya memberi tumpuan kepada mekanisme yang dapat meningkatkan keterbukaan dalam struktur serta tawaran gaji.

“Dalam masa sama, kadar gaji yang ditawarkan perlu mengambil kira kos sara hidup dan keperluan perbelanjaan rakyat mengikut keadaan setempat,” katanya selepas sesi meja bulat Forum Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat Bumiputera di sini.

Beliau berkata, perkara itu termasuk cadangan untuk menilai semula penubuhan Dasar Peluang Saksama bagi memastikan golongan muda dan pekerja Bumiputera mendapat pulangan gaji yang lebih setimpal.

Menurutnya, cadangan berkaitan ketidaksamaan peluang yang pernah diutarakan sebelum ini juga perlu dinilai semula bagi memastikan pekerja dari golongan muda mempunyai akses kepada peluang yang lebih baik serta memperoleh pulangan gaji setimpal.

Mengulas kadar gaji yang bersesuaian, Akmal berkata, indikator seperti Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) boleh dijadikan antara pertimbangan.

Katanya, indikator berkenaan turut mengambil kira perbezaan kos sara hidup berdasarkan lokasi, selain jumlah isi rumah.

“Cadangan berkaitan peluang yang lebih saksama kepada pekerja dan golongan muda yang pernah diketengahkan sebelum ini juga perlu dinilai semula.

“Ini bagi memastikan mereka mempunyai ruang serta peluang lebih baik untuk memperoleh pulangan gaji yang setimpal dengan pertumbuhan ekonomi,” katanya. – UTUSAN

The post Mekanisme gaji lebih telus bakal diteliti appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved