Majoriti rakyat Malaysia berbelanja awal cari harga promosi sambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini - kajian Modachi

23 Feb 2024 • 10:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Majoriti rakyat Malaysia berbelanja awal cari harga promosi sambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini - kajian Modachi

zulfadli

23/02/2024 - 10:33

KUALA LUMPUR 23 Feb - Pengguna dijangka membeli-belah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam penuh kesederhanaan dengan faktor harga menjadi pendorong utama untuk mereka berbelanja, menurut kajian Modachi Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Modachi, Faizal Zakaria berkata, sebanyak 92% responden memberi keutamaan terhadap harga sebelum melihat kepada kualiti (80%) manakala 74% lagi mencari promosi harga murah sebagai pendorong utama berbelanja.

Katanya, ada pengguna akan melihat kepada produk berjenama terkenal (46%) namun ia menjadi faktor keempat dalam memuat keputusan berbanding godaan promosi jualan murah.

"Hanya 22.6% menjelaskan mereka setia terhadap jenama pilihan yang telah mereka gunakan sebelum ini.

"Peratusan tinggi terhadap keutamaan harga ini menyaksikan orang ramai akan kembali membeli-belah secara dalam talian (62.5%) berbanding 37.5% mengakui selesa untuk berurusan dengan kedai fizikal," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Untuk rekod, Modachi merupakan syarikat perunding penjenamaan dan penerbitan kandungan strategik korporat yang memberi tumpuan terhadap strategi penceritaan lestari.

Faizal berkata, hampir sepertiga responden (28.6%) menyatakan mereka akan berbelanja bawah RM1,000 untuk sambutan hari raya sebelum ini manakala hampir suku (24%) akan berbelanja bawah RM5,000.

Ketika diminta untuk menjelaskan bagaimana mereka akan meraikan hari raya tahun pada tahun hadapan, 84.4% menyatakan Aidilfitri akan disambut dengan berbusana baharu.

"Responden juga menyatakan, mereka akan meneruskan tradisi berkunjung ke rumah rakan mahupun keluarga terdekat dan sudah pasti, juadah tradisi tetap akan diteruskan seperti tahun-tahun sebelum ini," kata Faizal.

Beliau berkata, berhubung pertembungan Aidilfitri yang didahului pembukaan penggal baharu persekolahan 2024, lebih 51% responden menjelaskan mereka akan membuat pembelian hari raya lebih awal.

"Walaupun responden menyatakan mula berbelanja awal, sebanyak 70.6% responden menyatakan mereka akan mengikut kemampuan masing-masing dengan apa yang ada sahaja.



"Bagi sebahagian lagi, responden menyatakan sumber perbelanjaan mereka akan banyak ditentukan jumlah simpanan yang dibuat secara berkala manakala 25.6% mahu menggunakan bonus dan dividen," katanya.

Jelas Faizal, secara keseluruhan kaji selidik itu mendapati sentimen berbelanja agak sederhana dan mod pengguna banyak disokong iklim ekonomi semasa, yang mana pengguna akan lebih berhati-hati dan kebanyakannya 'memburu' jualan harga murah.

"Saya nasihatkan usahawan terutama fesyen dan makanan untuk menyuai padan strategi kepada ‘pratempah.’ Melalui pratempah ini, stok akan dapat dirancang dengan lebih baik dan aliran tunai akan menjadi lebih baik.

"Memandangkan penggal baharu persekolahan bermula pada awal Mac 2024 dan Aidilfitri disambut pada minggu kedua April 2024, kempen jualan berkembar 'raya-sekolah' mungkin jalan terbaik dengan mengoptimumkan kos," katanya. - DagangNews.com