Makin ramai minat sertai PLKN, sasar buka 19 kem menjelang 2028

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 12:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Makin ramai minat sertai PLKN, sasar buka 19 kem menjelang 2028

KUALA LUMPUR – Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) menyasarkan jumlah peserta ditingkatkan kepada 10,000 orang menjelang 2028 berikutan penyertaan kaum bukan Melayu yang makin menggalakkan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Pengerusi MLKN, Tan Sri Dr. Abdul Aziz Zainal berkata, sasaran itu akan dicapai menerusi penambahan pusat latihan secara berperingkat bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Menurut beliau, kekangan kapasiti pusat latihan menjadi antara faktor jumlah penyertaan dihadkan sebelum ini, namun perkara itu sedang diatasi dengan penggunaan lebih banyak kemudahan termasuk pusat latihan milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Jika sebelum ini latihan hanya di kem-kem milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), namun atas faktor permintaan yang semakin menggalakkan terutama daripada kaum bukan Melayu, kita akan tambah kem latihan selepas ini.

“Sebenarnya kita sepatutnya mempunyai 19 pusat latihan. Kita akan buat secara berperingkat sehingga 2028. Dengan adanya pusat latihan Rela yang dipinjamkan secara percuma, lebih ramai pelatih dapat menjalani latihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan PLKN Siri 3/2026 di Kem Wataniah 515, di sini hari ini.

Seramai 795 pelatih menamatkan latihan PLKN Siri 3/2026 bermula 11 Julai lalu yang dilaksanakan serentak di tiga lokasi Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN).

Ia membabitkan 106 pelatih wanita di Kem 504, Perlis; 442 pelatih lelaki di Kem 505, Pekan, Pahang dan 247 pelatih wanita di Kem 515, Kuala Lumpur.

Bagi CLKN 515 Kuala Lumpur, anugerah Pelatih PLKN Terbaik disandang Wira Muda, Cheyenne Alessandra Michael.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, lapan kem latihan akan digunakan bagi PLKN Siri 4.0 dengan kapasiti ditambah mengikut sambutan dan keperluan semasa.

“Dengan penambahan lapan kem ini, kita sasar lebih 1,000 pelatih dapat menjalani latihan bagi Siri 4.0,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 200 pelatih PLKN akan diberi peluang menyertai perbarisan dan lintas lalu sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Abdul Aziz berkata, penyertaan itu julung kali memberi peluang kepada pelatih PLKN ditampilkan secara terbuka kepada rakyat selepas menjalani latihan.

“Pertama kali kita pamerkan pelatih-pelatih PLKN yang selama ini menjalani latihan di bawah program kita. Itulah yang saya katakan, mereka ‘the pride of the nation’ untuk kita kenali sebagai pewaris yang akan datang,” katanya.-KOSMO! ONLINE

The post Makin ramai minat sertai PLKN, sasar buka 19 kem menjelang 2028 appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved