
PADANG BESAR – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bukan sekadar membentuk disiplin, malah menjadi medan melahirkan generasi pemimpin yang mampu menerajui negara pada masa depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, perubahan peserta selepas menjalani latihan selama 45 hari jelas kelihatan, terutama dari segi keyakinan diri, kepimpinan dan keupayaan mengendalikan tugasan.
“Tengok cara dia kawal, cara dia bagi perintah. Dari mula-mula kita buat siri pertama sampai sekarang, pasti ada peningkatan.
“Jadi saya kira kita mengambil tindakan yang betul, memberikan peluang untuk anak-anak kita didedahkan dengan apa erti kepimpinan,” katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 3/2026 PLKN 3.0 di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah, Bukit Keteri di sini hari ini.
Katanya, pengalaman sepanjang latihan itu diharap mampu membentuk peserta supaya membawa semangat kepimpinan apabila menyambung pengajian atau menceburi apa juga bidang selepas tamat program.- KOSMO! ONLINE
The post PLKN bukan sekadar latihan, medan lahir pemimpin masa depan appeared first on Kosmo Digital.





