Kerajaan mengarahkan semua penjawat awam menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze berkuat kuasa serta-merta susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna.
Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa.
Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO), larangan berkenaan mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. sebagai syarikat yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

“Maklumat sensitif Kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Anwar turut menyarankan rakyat Malaysia supaya berhenti menggunakan Waze dan beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Langkah tersebut bertujuan mengurangkan risiko keselamatan maklumat dan melindungi data pergerakan pengguna daripada kemungkinan penyalahgunaan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menerusi surat bertarikh 20 Oktober mengarahkan semua ketua kementerian dan jabatan memastikan larangan berkenaan dimaklumkan serta dilaksanakan di peringkat agensi masing-masing.
Kerajaan turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh perlindungan data dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman yang boleh menjejaskan kedaulatannya.
Sumber: FB Anwar Ibrahim





