Maklumat Tentang Siri Kad Grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 Super Tertiris

TechnologyDigital
30 Jun 2025 • 2:53 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

NVIDIA telah melancarkan beberapa model kad grafik dalam siri GeForce RTX 5000 mereka sepanjang tahun ini. Mereka dijangka akan memperlihatkan lebih banyak lagi kad grafik dalam siri tersebut melalui model-model GeForce RTX 5000 Super pula, jika maklumat yang tertiris ke web adalah tepat.

Kopite7Kimi, salah satu daripada peniris maklumat tentang komponen PC telah mengatakan bahawa NVIDIA mungkin akan memperkenalkan tiga buah model kad grafik dibawah siri GeForce RTX 5000 Super. Ini termasuklah NVIDIA GeForce RTX 5080 Super, NVIDIA GeForce RTX 5070 Super dan NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti Super.

Bermula dengan NVIDIA GeForce RTX 5070 Super, kad grafik ini dijangka akan menggunakan cip pemprosesan GB205 sama dengan GeForce RTX 5070, tetapi mempunyai jumlah teras CUDA yang lebih tinggi, sebanyak 3400 teras. Jumlah memori pada kad grafik ini juga ditingkatkan ke 18GB GDDR7 berbanding dengan 12GB pada model asal.

Untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti Super pula, ia dijangka akan menggunakan cip pemprosesan grafik GB203 yang sama seperti GeForce RTX 5070 Ti dengan jumlah teras CUDA yang sama (8960), tetapi jumlah memori yang lebih banyak, iaitu 24GB GDDR7 berbanding dengan 16GB pada model asal.

image is not available

Butiran untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5080 Super belum diperlihatkan, tetapi menurut laporan, kad grafik ini akan hadir dengan spesifikasi yang sama seperti NVIDIA GeForce RTX 5080 asal, tetapi dengan jumlah memori 24GB GDDR7 berbanding dengan 16GB GDDR7 dan jumlah penggunaan tenaga elektrik yang lebih tinggi, 415W berbanding dengan 360W.

Ura-ura turut mengatakan bahawa kad-kad grafik ini akan diperkenalkan sekitar suku ketiga ataupun suku keempat pada tahun ini, tetapi buat masa ini NVIDIA masih belum memperlihatkan sebarang maklumat secara rasmi mengenai siri kad grafik tersebut.