IPOH - Dakwaan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak telah dibubarkan seperti yang tular di beberapa platform media sosial adalah tidak benar.
Pejabat Menteri Besar Perak menerusi satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa maklumat kononnya Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menghadap Sultan Perak untuk memohon pembubaran DUN dan telah mendapat perkenan baginda adalah sama sekali tidak berasas.
Menurut kenyataan itu, pihaknya mengesan penyebaran grafik yang menyerupai siaran berita televisyen selain penularan semula bahan berita lama sehingga boleh menimbulkan kekeliruan mengenai kedudukan semasa Dewan Negeri Perak.
"Pejabat Menteri Besar Perak memandang serius penyebaran maklumat tidak benar, khususnya yang mengaitkan institusi diraja dan pentadbiran Kerajaan Negeri.
"Sehubungan itu, pentadbiran ini telah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab," menurut kenyataan berkenaan.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan kesahihannya.
Sementara itu, maklumat tidak sahih yang tular di media sosial mendakwa Sultan Perak telah memperkenankan pembubaran DUN Perak yang kononnya berkuat kuasa mulai hari ini.
Malah, turut dikongsikan rakaman siaran berita televisyen lama yang memaparkan Menteri Besar Perak mengumumkan pembubaran DUN berkenaan sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.






