KUALA LUMPUR – Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Malaysia (MAKPEM) menganjurkan Fund Raising High Tea sempena ulang tahun ke-60 sebagai tanda penghargaan terhadap enam dekad sumbangannya dalam pembangunan kebajikan dan sosial negara.
Presiden MAKPEM, Ainullotfi Abdul Latif berkata, penganjuran berkenaan bukan sekadar meraikan perjalanan enam dekad organisasi itu, malah menjadi platform untuk memperkukuh kapasiti MAKPEM bagi menghadapi keperluan sektor kebajikan pada masa depan.
Menurutnya, program yang berlangsung pada Khamis di Royal Lake Club, Kuala Lumpur, turut menyaksikan pelancaran MAKPEM Training Centre Repair & Facilities Upgrading Fund.
**media[3621327]**
“Ulang tahun ke-60 ini merupakan satu pencapaian penting buat MAKPEM dan kita mahu menjadikannya bukan sekadar sambutan, tetapi satu titik tolak untuk memperkukuh lagi keupayaan organisasi.
“Dana ini penting bagi memastikan pusat latihan dan asrama MAKPEM terus berada dalam keadaan selamat, berfungsi dengan baik dan kondusif untuk pelaksanaan program latihan, pembangunan kepimpinan serta peningkatan kapasiti sektor kebajikan,” katanya.
Beliau berkata, dana berkenaan menyasarkan kutipan sebanyak RM150,000 bagi membiayai kerja pembaikan, peningkatan aspek keselamatan serta penambahbaikan kemudahan di pusat latihan dan asrama MAKPEM.
Menurutnya, usaha mengukuhkan kemudahan latihan amat penting bagi memastikan MAKPEM dapat terus memainkan peranan dalam membangunkan kapasiti pertubuhan kebajikan serta komuniti di seluruh negara.
**media[3621328]**
Program yang mengangkat tema “60 Tahun Berkhidmat, Impak Sepanjang Hayat” atau “60 Years of Service: A Lifetime of Impact” itu menghimpunkan kira-kira 250 tetamu terdiri daripada pemimpin kerajaan, rakan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dermawan, ahli MAKPEM serta rakan pembangunan kebajikan dan komuniti.
Ainullotfi berkata, sokongan daripada pelbagai pihak termasuk sektor korporat, kerajaan, NGO dan individu amat diperlukan bagi memastikan usaha menaik taraf kemudahan tersebut dapat direalisasikan.
“MAKPEM mempunyai sejarah panjang dalam pembangunan kebajikan dan sosial. Justeru, sokongan semua pihak amat bermakna untuk memastikan kita dapat terus menyediakan latihan dan membina kapasiti organisasi kebajikan secara berkesan.
“Kita mahu menjadikan sambutan 60 tahun ini sebagai satu usaha bersama untuk melihat MAKPEM terus relevan dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran kebajikan masyarakat,” katanya.
**media[3621329]**
Ainullotfi berkata, penganjuran berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh asas MAKPEM untuk tempoh jangka panjang.
“Enam dekad adalah satu perjalanan yang panjang. Kita mahu meraikan pencapaian ini dengan melihat ke hadapan dan memastikan MAKPEM mempunyai asas yang kukuh untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.




