Malacca Securities hentikan liputan ke atas saham JAKS kerana kekurangan kepentingan pelabur runcit, institusi
diyana
21/06/2023 - 10:44
KUALA LUMPUR 21 Jun - Malacca Securities menghentikan liputan ke atas saham JAKS Resources Bhd kerana pengagihan semula sumber dalaman dan kekurangan kepentingan pelabur runcit dan pelabur institusi.
“Kami menganggap bahawa aktiviti dagangan mungkin kekal diredam pada masa hadapan berikutan ketiadaan petunjuk baharu,” katanya dalam nota hari ini, sambil menambah saranan terakhirnya untuk ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) 27 sen sesaham.
Menurut firma penyelidikan itu, JAKS sedang menjalankan pelaksanaan penempatan persendirian dan hasil akan digunakan untuk membayar balik hutang sedia ada dan membiayai modal kerja.
Walaupun langkah itu penting, firma itu berkata pencairan selanjutnya dalam pegangan pemegang saham sedia ada tidak menggalakkan memandangkan kumpulan itu beroperasi dalam kedudukan aliran tunai bersih negatif sepanjang lapan suku yang lalu.
Mengulas mengenai prospek jangka panjang kumpulan, firma itu berkata ia kekal mencabar dan tidak menentu berikutan buku pesanan pembinaan yang semakin berkurangan pada RM139.1 juta selepas menyelesaikan baki kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di Vietnam.
Namun, Malacca Securities menganggap bahawa kestabilan pendapatan akan dipastikan oleh sumbangan jangka panjang daripada usaha sama miliknya sebanyak 30% dalam loji jana kuasa Hai Doung yang menggunakan arang batu.
“Kami menganggap bahawa segmen pembinaan mungkin terus menyaksikan prestasi hambar, disebabkan ketiadaan penambahan projek pembinaan berskala besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam nota hari ini.
Walaupun sektor pembinaan dijangka pulih selepas pilihan raya negeri dan pembentangan Bajet 2024 di Malaysia, firma itu berpendapat bahawa harga bahan binaan dan kos buruh yang lebih tinggi mungkin mengekalkan margin terkawal.
Selain itu, Malacca Securities berkata segmen pelaburan hartanah kumpulan itu mungkin kekal perlahan pada masa hadapan disebabkan oleh kadar penghunian yang rendah di Pacific Business Hub dan Evolve Concept Mall, di samping pertumbuhan pusat membeli-belah berskala besar berdekatan telah mengakibatkan lebihan bekalan ruang runcit.
“Melangkah ke hadapan, kawasan boleh disewa bersih (NLA) , 3.4 meter kaki persegi dari lapan pusat membeli-belah kumpulan itu dijangka mula beroperasi di Lembah Klang dalam tiga tahun akan datang,” ujarnya.
Bagaimanapun, firma itu yakin dengan usaha kumpulan untuk mengalihkan tumpuan mereka kepada segmen tenaga kuasa, di mana operasi komersial untuk projek Solar 4 Skala Besar (LSS4) dijangka bermula awal Julai 2023 dengan potensi menjana keuntungan RM10 juta setahun dalam tempoh konsesi 25 tahun.
Saham JAKS Resources telah menurun sebanyak 23.4% daripada 23.5 sen sejak awal tahun ini dan pada masa penulisan, ia didagangkan pada 18 sen, naik 0.5 sen atau 2.9% dengan modal pasaran sebanyak RM399.5 juta. -DagangNews.com

