Malakoff aktifkan semula stesen janakuasa GB3 Lumut, tiga bulan lebih awal daripada jadual

LocalBusiness & Finance
3 Nov 2026 • 3:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malakoff aktifkan semula stesen janakuasa GB3 Lumut, tiga bulan lebih awal daripada jadual Image from: Malakoff aktifkan semula stesen janakuasa GB3 Lumut, tiga bulan lebih awal daripada jadual hamden03/11/2026 - 15:09 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - Malakoff Corporation Bhd berjaya mengaktifkan semula operasi komersial stesen janakuasa Turbin Gas Kitar Terbuka (OCGT) GB3 berkapasiti 429 megawatt (MW) di Lumut, Perak, hampir tiga bulan lebih awal daripada jadual ditetapkan.

 

Stesen janakuasa menerusi anak syarikat milik penuhnya, GB3 Sdn Bhd itu memulakan semula operasi komersial pada 7 Oktober 2026, berbanding tarikh operasi komersial (COD) yang dijadualkan tidak lewat daripada 1 Januari 2027 di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) baharu bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB).

 

Dalam kenyataan pada Selasa, Malakoff memberitahu stesen janakuasa berkenaan kali terakhir beroperasi pada Disember 2022 sebelum berjaya ditauliahkan semula susulan pelanjutan tempoh operasinya.

 

PPA baharu bagi GB3 dan Segari Energy Ventures Sdn Bhd (SEV) dimeterai pada Mei 2026 selepas Malakoff berjaya memperoleh lanjutan tempoh bagi tiga stesen janakuasa berkuasa gas miliknya menerusi proses bidaan Projek Kategori 1 Suruhanjaya Tenaga bagi kapasiti penjanaan baharu di Semenanjung Malaysia untuk tempoh 2025 hingga 2029.

 

PPA baharu GB3 itu berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2029.

 

Menyokong bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia sejak 2001

Menurut Malakoff, GB3 telah menyokong bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia sejak 2001 dan berupaya memulakan operasi dengan pantas apabila berlaku peningkatan mendadak permintaan elektrik menerusi konfigurasi kitar terbukanya.

 

Keupayaan itu menjadikan GB3 sebagai sumber kapasiti penjanaan waktu puncak yang penting, selain membantu memastikan kecukupan margin rizab bagi grid nasional.

 

Pengaktifan semula lebih awal itu berlaku ketika permintaan elektrik negara terus meningkat, didorong perkembangan sektor perindustrian, pendigitalan serta sektor berintensifkan tenaga termasuk pusat data.

 

Dengan mengambil kira peranan bersama stesen SEV yang dijadualkan menyambung semula operasi selewat-lewatnya 1 Julai 2027, Stesen Janakuasa Lumut bakal menyalurkan kapasiti penjanaan gabungan sebanyak 1,732MW kepada grid nasional.

 

Sementara itu, stesen janakuasa Prai milik Malakoff di Pulau Pinang, iaitu stesen pertama daripada tiga aset kumpulan yang menerima lanjutan tempoh operasi, telah berjaya memulakan semula operasi pada 9 April 2026.

 

Tambahan 429MW tersedia

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata, pengoperasian semula GB3 lebih awal akan membantu memenuhi keperluan negara yang semakin meningkat terhadap bekalan elektrik berterusan.

 

"Beroperasinya semula GB3 lebih awal daripada jadual membolehkan tambahan 429MW tersedia bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara," katanya.

 

Beliau berkata, usaha mengembalikan stesen janakuasa kepada operasi komersial selepas hampir empat tahun tidak beroperasi memerlukan perancangan rapi dan komitmen tinggi.

 

Menurutnya, dengan pengoperasian semula stesen Prai dan GB3 serta penyambungan operasi SEV yang dijangka menyusul tahun depan, Malakoff dapat memanfaatkan sepenuhnya aset penjanaan sedia ada yang telah lama menyumbang kepada bekalan tenaga negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved