Pelaburan awal Battersea Power Station terlalu tinggi, usaha pemulihan kerugian sedang berjalan – Anwar

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 12:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaburan awal Battersea Power Station terlalu tinggi, usaha pemulihan kerugian sedang berjalan – Anwar Image from: Pelaburan awal Battersea Power Station terlalu tinggi, usaha pemulihan kerugian sedang berjalan – Anwar hamden27/10/2026 - 12:14 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt - Pelaburan awal dalam pembangunan semula Battersea Power Station di London didapati terlalu tinggi sehingga berlaku kerugian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata, usaha sedang dilaksanakan untuk memulihkan pelaburan berkenaan.

 

“Walaupun kini usaha pemulihan sedang dilaksanakan, pelaburan asal terlalu tinggi dan mengalami kerugian,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

 

Anwar menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta penjelasan mengenai jumlah pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dalam projek pembangunan semula itu yang mengambil masa 15 tahun, selain manfaat ekonominya kepada negara.

 

Projek pembangunan semula Battersea Power Station seluas 42 ekar itu merupakan pembangunan bercampur berskala besar yang diterajui konsortium Malaysia membabitkan S P Setia Bhd, Sime Darby Property Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

 

Sehingga kini, lebih £5 bilion telah dilaburkan dalam projek berkenaan oleh pemegang sahamnya dari Malaysia.

 

Perdana Menteri berkata, meskipun menyedari keperluan bagi syarikat dana awam untuk mencari ruang pendapatan di dalam dan luar negara, keutamaan perlu diberikan di dalam negara.

 

"Sekarang sejak 3 tahun yang lalu, kita telah tetapkan mesti ada keutamaan dan sekurang-kurangnya peringkat awal saya tetapkan segera 20 peratus itu dalam negara dan ini ditingkatkan mengikut kesediaan dan keupayaan mereka," katanya.

 

Anwar menambah, tidak boleh nafikan sebahagian atau sebahagian besar pelaburan di luar negara menjana keuntungan yang tinggi seperti dicatat Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) sebanyak RM8 billion. 
 

"Jadi kalau kita nak tegur munasabah tetapi janganlah ambil kegagalan eFishery itu mewakili keseluruhan KWAP.

 

"Berbalik pada gesaan Yang Berhormat Pasir Gudang, memang kita setuju kita lebih teliti dan jangan berulang seperti mana pelaburan di Battersea di UK itu.," katanya. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved