Ahmad Zaki Resources peroleh perintah sekatan tiga bulan daripada Mahkamah Tinggi untuk susun semula hutang

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 6:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ahmad Zaki Resources peroleh perintah sekatan tiga bulan daripada Mahkamah Tinggi untuk susun semula hutang Image from: Ahmad Zaki Resources peroleh perintah sekatan tiga bulan daripada Mahkamah Tinggi untuk susun semula hutang hamden23/10/2026 - 18:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) memperoleh perintah sekatan selama tiga bulan daripada Mahkamah Tinggi bagi melindungi kumpulan itu daripada tindakan undang-undang pemiutang, ketika syarikat berkenaan berusaha merangka cadangan skim penyusunan semula hutang.

 

Kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Jumaat berkata, anak syarikat milik penuhnya, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), diberikan perintah berkenaan bagi tempoh 21 Oktober 2026 hingga 20 Januari 2027.

 

Mahkamah turut menetapkan 28 Disember ini untuk mendengar permohonan AZSB bagi mendapatkan perintah mengadakan mesyuarat pemiutang.

 

AZRB berkata, perintah sekatan itu dijangka tidak memberi kesan buruk material terhadap kedudukan kewangan atau operasi kumpulan, sambil memaklumkan pengumuman lanjut akan dibuat pada masa yang bersesuaian.

 

Menurut pemakluman terdahulu kumpulan itu, AZSB bukan anak syarikat utama AZRB.

 

AZRB memohon perintah sekatan berkenaan pada akhir Ogos lalu ketika berusaha merangka cadangan skim penyusunan semula dengan pemiutangnya.

 

Langkah itu diambil ketika kumpulan berkenaan berdepan beberapa petisyen penggulungan, selain menerima teguran awam daripada Bursa Malaysia Securities pada bulan lalu berhubung kelewatan mendedahkan petisyen tersebut.

 

Bursa Malaysia sebelum ini menyatakan AZRB gagal mendedahkan dengan segera empat petisyen penggulungan yang melibatkan kumpulan itu dan anak-anak syarikat milik penuhnya.

 

Petisyen berkenaan membabitkan tuntutan berjumlah kira-kira RM9.41 juta dan diumumkan antara Mei hingga Julai 2026, walaupun syarikat itu telah menerimanya antara 10 hingga 50 hari lebih awal.

 

Kedudukan kewangan kumpulan turut menunjukkan tekanan modal kerja apabila AZRB mencatatkan liabiliti semasa RM1.42 bilion berbanding aset semasa RM698.73 juta setakat akhir Jun 2026.

 

Perbezaan itu menyebabkan kumpulan berkenaan merekodkan modal kerja negatif sebanyak RM721.27 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved