Malam penghormatan Ronaldo bertukar mimpi ngeri

FootballSports
16 Nov 2026 • 9:49 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malam penghormatan Ronaldo bertukar mimpi ngeri
Pasukan Portugal dikritik kerana beraksi hambar dalam perlawanan yang menjadi detik penghormatan buat Ronaldo. Foto: AFP

MALAM yang sepatutnya menjadi detik penghormatan buat legenda bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo yang mengambil keputusan untuk bersara dari pentas antarabanga bertukar menjadi mimpi ngeri apabila skuad kebangsaan itu dibelasah Denmark 1-4 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA di Braga.

Kekalahan besar itu mencetuskan pelbagai reaksi media antarabangsa yang menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu penghinaan terhadap majlis penghormatan buat pemain berusia 41 tahun tersebut.

Ronaldo yang tidak beraksi pada perlawanan itu tetap menjadi tumpuan apabila semua pemain Portugal turun ke padang dengan memakai jersi tertera namanya serta nombor tujuh sebagai tanda penghargaan.

Penyokong tuan rumah turut membentangkan kain rentang bertulis 'terima kasih, kapten' bagi menghargai sumbangan besar Ronaldo sepanjang 23 tahun bersama skuad kebangsaan.

Namun, suasana penuh emosi itu bertukar suram apabila Portugal gagal memberikan persembahan yang diharapkan sebelum Denmark mengambil kesempatan untuk melakar kemenangan besar.

Media Sepanyol, AS antara yang lantang mengkritik situasi berkenaan menerusi tajuk 'Cristiano tidak layak menerima layanan sebegini', manakala Marca menyifatkan Denmark sebagai pasukan sebenar yang mencuri tumpuan pada malam penghormatan tersebut.

Akhbar sukan Sepanyol, Sport pula menyifatkan kekalahan itu sebagai 'Portugal dihina ketika majlis penghormatan buat Cristiano', manakala La Gazzetta dello Sport dari Itali menyorot kelemahan Portugal tanpa kelibat kapten berpengalaman itu.

Akhbar Perancis, L'Equipe pula merumuskan kekalahan itu sebagai permulaan era baharu yang mengecewakan buat Portugal manakala media Britain termasuk BBC Sport dan The Guardian turut menyifatkan keputusan berkenaan sebagai satu penghinaan kepada skuad kendalian Jorge Jesus.

Di Portugal, akhbar O Jogo menyifatkan malam berkenaan sebagai mimpi ngeri, sementara A Bola mempersoalkan kegagalan pasukan itu menerusi tajuk 'Apa yang berlaku, Portugal?'.

Reaksi turut membanjiri media sosial apabila kempen mempertahankan Ronaldo muncul dengan slogan 'Never disrespect Cristiano Ronaldo' (Jangan sesekali tidak menghormati Cristiano Ronaldo).

Kekalahan itu menyaksikan Rasmus Hojlund meledak dua gol, manakala Pierre-Emile Hojbjerg dan Joachim Andersen masing-masing menyumbang satu jaringan buat Denmark. Bernardo Silva menjaringkan gol sagu hati Portugal.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved