Malaysia ada ramai tekong muda yang mampu jadi lebih hebat daripada saya: Syahir Rosdi

24 May 2024 • 5:39 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR — Skuad sepak takraw negara tidak ketandusan bakat tekong, malah Syahir Rosdi percaya ramai yang mampu menjadi lebih hebat daripadanya.

Syahir, 27, yang memegang status tekong nombor satu Malaysia percaya, bakat-bakat muda negara itu hanya memerlukan lebih banyak pengalaman peringkat tertinggi untuk menjadi penggantinya atau tidak mustahil, lebih hebat daripadanya.

"Banyak tekong meningkat dalam pasukan ketika ini, mereka berikan keyakinan kepada jurulatih (Ahmad Jais Baharun). Jadi tiada masalah untuk tekong mana diturunkan mewakili negara.

"Saya rasa boleh (diturunkan dalam acara berpasukan) sebab tekong muda ni ada potensi lain macam. Jadi, saya harap mereka konsisten ketika bertahan dan berikan yang terbaik dalam perlawanan," kata Syahir.

image is not available
Servis ace yang dilakukan Haziq membantu Malaysia mengejutkan Thailand dalam perlawanan akhir acara regu untuk merangkul Piala Dunia buat kali pertama. - Azim Rahman/Scoop, 24 Mei, 2024

Selain Syahir, Malaysia ketika ini mempunyai empat lagi tekong yang membawa cabaran negara dalam Piala Dunia Sepak Takraw iaitu Haziq Hairul Nizam, Zuhri Zain, Zarif Marican Ibrahim Marican dan Syahmi Hussin.

Haziq, 21, paling mencuri tumpuan peminat sepak takraw negara selepas dimasukkan menggantikan Syahir dalam final regu menentang Thailand, Rabu lalu.

Dia memberikan mata kemenangan dengan melakukan servis ace, lantas membantu trio negara melakar sejarah merangkul kejuaraan Piala Dunia pertama, menumpaskan musuh tradisi, Thailand.

Mengulas mengenai prestasi Haziq, Syahir berkata, pemain tinggi lampai itu membuktikan dia boleh beraksi baik ketika diberikan peluang untuk menggalas harapan negara dalam kejohanan di peringkat tertinggi.

image is not available
Syahir Rosdi percaya, jika mendapat lebih banyak pengalaman beraksi di peringkat tertinggi, tekong-tekong muda negara mampu menggantikan tempatnya atau tidak mustahil lebih baik daripadanya. - Azim Rahman/Scoop, 24 Mei, 2024

Selepas merangkul kejuaraan berganda dalam regu dan beregu, Malaysia sedang dalam proses melengkapkan hatrik dalam acara berpasukan.

Semalam, anak-anak buah Ahmad Jais mudah mengalahkan Brunei 3-0 dalam aksi pembukaan.

Malam ini Malaysia akan bertembung dengan Jepun pada jam 8 untuk melengkapkan aksi Kumpulan C.

Skuad kebangsaan dijangka tidak menghadapi masalah untuk ke final dan bertemu juara bertahan, Thailand sekali lagi. — 24 Mei, 2024