
BAGAN DATUK – Malaysia mempunyai 6,851 masjid, termasuk 97 dikenal pasti sebagai masjid pelancongan yang berpotensi diketengahkan sebagai tarikan pelancong beragama Islam, bukan Islam tempatan dan antarabangsa selaras dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Shaharuddin Abu Sohot, jumlah tersebut menunjukkan bahawa potensi pelancongan masjid di negara ini besar, namun penglibatan masjid perlu dilaksanakan secara teratur dan bertanggungjawab dengan fungsi utama serta kesucian masjid sentiasa dihormati.
“Dalam hal ini, Pusat Pelancongan Islam (ITC) telah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri dalam membangunkan garis panduan serta menyelaras penglibatan pihak masjid.
“Bagi menyokong ekosistem ini, inisiatif ITC seperti Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan serta Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) dan Pemandu Pelancong Mesra Muslim turut memainkan peranan dalam memperkukuh penyediaan perkhidmatan mesra Muslim,” katanya di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini.
Beliau berucap sedemikian dalam Majlis Perasmian Program National Mosque Open Day (NMOD 2026) atau Hari Terbuka Masjid Kebangsaan 2026 di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini hari ini.
Kata Pengerusi ITC itu, pelancongan mesra muslim bukan sekadar menyediakan makanan halal tetapi mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa, yakin dan menyeronokkan untuk pelancong beragama Islam dan bukan Islam. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia ada tarikan 97 masjid pelancongan appeared first on Kosmo Digital.






