Malaysia Airlines diumum syarikat penerbangan rasmi Manchester United
herman
22/03/2024 - 12:51
KUALA LUMPUR 22 Mac - Malaysia Airlines diumum sebagai syarikat penerbangan rasmi kelab bola sepak terkenal England, Manchester United hasil perkongsian jangka panjang kedua-dua pihak.
Perkongsian itu diumumkan Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Izham Ismail pada pameran perdagangan industri utama di Kuala Lumpur.
Manchester United pada majlis itu diwakili bekas tonggak pertahanan mereka, Patrice Evra dan Wes Brown yang turut berkongsi pengalaman mengembara ke seluruh dunia sebagai pemain dan duta untuk kelab itu.
Legenda United, Bryan Robson pula membuat kemunculan khas menerusi tayangan video khas bagi meraikan perkongsian Malaysia Airlines dan Manchester United.
Sementara itu, Izham berkata, perkongsian ini meningkatkan pengiktirafan jenama Malaysia Airlines dengan ketara terutamanya di Eropah dan Asia Tenggara disebabkan jumlah peminat Manchester United yang ramai.
Katanya, Malaysia Airlines dan Manchester United - dua ikon global akan mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk peminat serta pelanggan menerusi perkongsian ini.
"Menjajarkan dengan kelab yang diiktiraf di peringkat global seperti United meletakkan Malaysia Airlines di hadapan khalayak ramai di seluruh dunia.
"Kami menantikan peluang menarik menerusi kerjasama ini dan kegembiraan yang akan dibawa kepada peminat bola sepak di seluruh dunia," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Manchester United, Victoria Timpson pula berkata, hubungan kelab itu dan Malaysia telah lama terjalin dengan sejarah yang membanggakan dari peminat di seluruh negara.
“Kami mempunyai tiga kelab penyokong rasmi di Malaysia, dengan cawangan Kuala Lumpur mempunyai salah satu komuniti penyokong terbesar kelab itu yang mencerminkan kecintaan kepada United.
“Kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan Malaysia Airlines kepada keluarga rakan kongsi kami dan berharap untuk berkongsi dengan peminat global kami mengenai perkhidmatan penerbangan ini yang dipercayai dan mempunyai layanan mesra,” jelasnya.
Bagi Evra pula, perkongsian ini membolehkan Malaysia Airlines memperkenalkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada peminat Manchester United yang berada di seluruh dunia.
"Saya bersama Wes Brown ke Kuala Lumpur dengan Malaysia Airlines dan saya ingin mengucapkan terima kasih untuk perjalanan yang begitu selesa.
"Daripada makanan kepada tempat duduk yang selesa dan perkhidmatan yang mesra, semuanya sempurna,” kata ikon pertahanan Manchester United itu.
Sementara itu, Wes Brown pula berkata, Malaysia Airlines mewakili wajah sebenar budaya mesra Malaysia.
"Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka untuk melibatkan diri dengan penyokong hebat kami,” katanya.- DagangNews.com



