Malaysia Airlines lantik Azizulhasni sebagai duta MHsports, semarakkan pembangunan sukan negara

23/07/2025 - 10:48
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail (dua dari kanan) bersama Datuk Azizulhasni Awang sempena pelantikannya sebagai duta MHSports Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR, 23 Julai 2025 – Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines, hari ini mengumumkan pelantikan jaguh berbasikal trek negara Dato’ Azizulhasni Awang sebagai duta rasmi MHsports dalam usaha memperkukuh komitmen syarikat terhadap pembangunan sukan tanah air.
Pelantikan tersebut dilihat sebagai langkah strategik MAG untuk menyokong bakat sukan terbaik negara selain memupuk budaya kecemerlangan, ketahanan dan perpaduan menerusi sukan. Dato’ Azizulhasni – yang sinonim dengan gelaran ‘Pocket Rocketman’ – akan menjadi wajah MHsports dan dijangka terlibat dalam pelbagai kempen serta program libat urus masyarakat anjuran syarikat penerbangan nasional itu.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Malaysia Airlines akan menaja perjalanan serta menyokong latihan dan penyertaan Dato’ Azizulhasni dalam kejohanan berbasikal antarabangsa yang akan datang.
"Daya juang dan ketabahan beliau mencerminkan nilai teras Malaysia Airlines dan menjadikan beliau tokoh paling tepat untuk membawa jenama MHsports ke peringkat lebih tinggi," kata Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail.
Dato’ Azizulhasni mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama negara yang memenangi pingat Olimpik – gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020. Beliau turut pernah dinobat juara dunia UCI pada 2017 serta memiliki 12 gelaran Kejohanan Asia dan pelbagai kemenangan podium peringkat dunia.
Selain prestasi cemerlangnya, beliau juga aktif menjalankan program motivasi dan jangkauan masyarakat terutamanya dalam kalangan belia dan atlet pelapis.
MHsports, platform khas di bawah Malaysia Airlines, menawarkan pelbagai manfaat buat penggiat sukan termasuk diskaun tiket penerbangan, elaun bagasi tambahan untuk peralatan sukan serta pilihan tempahan fleksibel – bagi memastikan perjalanan lebih mudah dan selesa kepada atlet negara.- DagangNews.com
standard


