Malaysia Airlines, bersama-sama beberapa syarikat penerbangan lain, termasuklah Cathay Pacific, Japan Airlines, Asiana Airlines dan lain-lain mungkin terkesan dengan isu ketirisan data yang berlaku melalui platform tempahan Amadeus.
Baru-baru ini, platform tempahan penerbangan tersebut dilaporkan telah mengalami isu ketirisan data yang menyebabkan data pelanggan penerbangan telah terdedah ke arena web gelap, dan sejumlah syarikat-syarikat penerbangan, termasuklah Malaysia Airlines telah terkesan dengannya.

Malaysia Airlines telah mengeluarkan kenyataan mengenai insiden ini, dan mengatakan bahawa data pelanggan yang telah melanggani penerbangan bersama mereka dari Ogos 2023 sehingga September 2026 mungkin terkesan dengan isu ini. Buat masa ini, perkara ini masih lagi dalam siasatan, dan butiran yang tertiris belum diketahui lagi.
Walaupun begitu, Malaysia Airlines turut mengatakan bahawa sistem IT mereka tidak dikompromi, dan semua tirisan maklumat yang diperlihatkan adalah dari pihak Amadeus.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Malaysia Airlines menggalakkan pelanggan agar sentiasa berwaspada terhadap komunikasi yang mencurigakan atau tidak diminta, terutamanya komunikasi yang meminta maklumat peribadi atau kewangan.
Sumber: Malaysia Airlines




