Jerebu: JAS Tegaskan Bacaan IPU Rasmi Hanya Melalui APIMS, MyJAS EQMS

LocalEnvironment
8 Oct 2026 • 8:07 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Jerebu: JAS Tegaskan Bacaan IPU Rasmi Hanya Melalui APIMS, MyJAS EQMS

Orang ramai dinasihatkan merujuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) rasmi Malaysia melalui Air Pollutant Index Management System (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.

JAS dalam satu kenyataan hari ini berkata, bacaan melalui APIMS menjadi rujukan rasmi kerajaan dalam penyampaian nasihat berkaitan kesihatan serta pengurusan situasi jerebu.

Menurutnya, terdapat laman sesawang atau aplikasi bebas yang memaparkan bacaan Air Quality Index (AQI) yang kadangkala lebih tinggi berbanding bacaan IPU Malaysia.

“Perbezaan angka tersebut tidak semestinya menunjukkan percanggahan atau bahawa tahap pencemaran telah direndahkan.

“Sebaliknya, perbezaan lazimnya berlaku kerana IPU Malaysia dan AQI pada platform lain mungkin menggunakan skala, kaedah pengiraan, nilai ambang, tempoh purata, masa kemas kini dan sumber data yang berbeza,” menurut kenyataan itu.

JAS menjelaskan, sesetengah platform antarabangsa mungkin menggunakan skala seperti US AQI, selain sumber data berbeza termasuk sensor kos rendah, anggaran model atau data satelit.

Katanya, data satelit mengukur ketumpatan partikel di atmosfera dan bukan secara langsung kualiti udara sebenar pada paras bumi.

“Angka IPU dan AQI daripada dua platform berbeza tidak boleh dibandingkan secara langsung hanya berdasarkan nombor yang dipaparkan,” katanya.

Dalam pada itu, JAS berkata, IPU Malaysia merupakan bacaan purata yang dilaporkan setiap jam dan dikira berdasarkan subindeks bagi enam pencemar udara utama.

Enam pencemar berkenaan ialah ozon di permukaan bumi (O₃), karbon monoksida (CO), nitrogen dioksida (NO₂), sulfur dioksida (SO₂), habuk halus bersaiz kurang daripada 10 mikron (PM₁₀) dan habuk halus bersaiz kurang daripada 2.5 mikron (PM₂.₅).

Menurutnya, kepekatan keenam-enam bahan pencemar itu dicerap secara berterusan selama 24 jam sehari bagi memperoleh nilai rujukan dalam menentukan bacaan IPU.

“Semasa kejadian jerebu, PM₂.₅ lazimnya menjadi bahan pencemar yang dominan,” katanya.

Sementara itu, JAS memaklumkan pemantauan kualiti udara negara dilaksanakan menerusi Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) yang melibatkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Stesen berkenaan menjalankan pemantauan berdasarkan piawaian dan pensijilan antarabangsa berkaitan, termasuk United States Environmental Protection Agency (USEPA) dan ISO.

Menyentuh mengenai operasi pembenihan awan, JAS berkata, ia boleh dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan serta keadaan cuaca yang sesuai.

Pada masa sama, JAS menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya ketika cuaca panas dan kering serta kualiti udara berada pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

Selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya memastikan tanah atau premis milik mereka tidak dimasuki atau dicerobohi pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka.

Baca juga:

“Sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka hendaklah dilaporkan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved