amree24/09/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — Malaysia Airlines terus memperkukuh kehadirannya di China menerusi peluasan rangkaian penerbangan, kerjasama digital yang lebih erat serta hubungan lebih dekat dengan pemain industri pelancongan.
Langkah itu dibuat berikitan peningkatan permintaan perjalanan antara China dan Malaysia, selain mengukuhkan kedudukan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk ke Malaysia dan rantau lebih luas.
Syarikat penerbangan itu menganjurkan China Trade Gala di Shanghai pada 22 September 2026, yang menghimpunkan pemimpin industri pelancongan dan rakan korporat bagi meraikan pencapaian bersama serta mengukuhkan komitmen jangka panjang Malaysia Airlines terhadap pasaran China.
"Acara ini turut mengiktiraf peranan penting rakan industri dan pihak berkepentingan menyokong pertumbuhan Malaysia Airlines, selain menjadi platform untuk syarikat berkongsi perancangan masa depan dan memperkukuh kerjasama dalam pasaran tersebut," katanya dalam kenyataan.
Momentum Pertumbuhan di China
Malaysia Airlines terus merekodkan permintaan kukuh di seluruh rangkaian penerbangannya di China.
Pada separuh pertama 2026, syarikat penerbangan itu membawa lebih 600,000 penumpang menerusi perkhidmatan ke China, meningkat 27% berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan faktor muatan purata sebanyak 84%.
Malaysia Airlines menjangka membawa lebih 52,000 penumpang bagi penerbangan pergi dan balik ke China sepanjang tempoh cuti Golden Week yang berlangsung dari 26 September hingga 11 Oktober 2026. Jumlah itu dijangka meningkat 21% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, China merupakan pasaran pertumbuhan utama bagi Malaysia Airlines.
"Perluasan rangkaian kepada sembilan destinasi di China menunjukkan keyakinan syarikat terhadap potensi jangka panjang pasaran berkenaan," tambahnya.
Menurut beliau, perkembangan itu dicapai hasil kepercayaan pelanggan serta kerjasama rapat dengan kerajaan, pemain industri pelancongan, rakan korporat dan rakan industri.
Ketika MAG memasuki fasa pertumbuhan seterusnya menerusi Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0), Malaysia Airlines akan terus menjadikan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk ke Asia dan destinasi lain, selain melabur dalam rangkaian penerbangan, pesawat, keupayaan operasi serta kerjasama yang sesuai dengan keperluan pelancong China.
Berpandukan konsep layanan mesra Malaysia, syarikat itu kekal komited untuk menghubungkan penduduk dan destinasi di China, Malaysia serta rantau lebih luas.
Pada 2026, Malaysia Airlines menyambung semula penerbangan harian ke Chengdu dan memperkenalkan penerbangan harian baharu ke Shenzhen serta Changsha.

Penambahan itu memperluas rangkaian syarikat di China Barat, kawasan Greater Bay Area dan China Tengah. Dengan perkembangan tersebut, Malaysia Airlines kini menyediakan penerbangan ke sembilan destinasi di China, selain destinasi sedia ada seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong dan Taipei.
Rangkaian penerbangan itu akan terus berkembang menerusi syarikat penerbangan saudaranya, Firefly, yang merancang memulakan penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Kunming, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.
Laluan baharu itu akan dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 737-800 dan mewujudkan hubungan penerbangan terus antara Yunnan dan Malaysia.
Ia dijangka menyokong perjalanan bagi tujuan pelancongan, perniagaan, pendidikan dan kebudayaan, selain memberi akses lebih mudah ke Malaysia serta destinasi seterusnya menerusi Kuala Lumpur.
Kuala Lumpur menjadi pusat utama dalam rangkaian tersebut kerana menyediakan akses mudah kepada pelancong dari China ke destinasi di seluruh Malaysia, ASEAN, Asia Selatan, Australia dan New Zealand.
Menerusi inisiatif seperti program Bonus Side Trip, Malaysia Airlines turut memudahkan penumpang yang transit di Kuala Lumpur untuk menerokai lebih banyak destinasi di Malaysia sebagai sebahagian daripada perjalanan mereka.
Perkukuh Hubungan Digital
Selain peluasan rangkaian penerbangan, Malaysia Airlines turut memperkukuh kehadiran digitalnya di China menerusi kerjasama dengan platform teknologi dan pelancongan utama.
Sempena China Trade Gala, syarikat itu memeterai tiga memorandum persefahaman (MoU) bersama Huawei, Weixin Pay dan TravelSky Technology Limited.
Kerjasama tersebut merangkumi platform digital, hubungan dengan pelanggan serta pengedaran perkhidmatan, sekali gus membantu Malaysia Airlines mengintegrasikan perkhidmatannya dengan ekosistem digital yang banyak digunakan pengguna di China.
Kerjasama itu juga akan meluaskan capaian Malaysia Airlines dalam pasaran tempatan China.
Melalui kerjasama berkenaan, pelancong akan lebih mudah mencari dan menempah perkhidmatan Malaysia Airlines, mendapatkan maklumat perjalanan yang berkaitan serta berhubung dengan syarikat menerusi saluran digital yang biasa mereka gunakan.
Langkah ini membolehkan hubungan dengan pelanggan diteruskan bukan sahaja di lapangan terbang, malah melalui platform digital yang digunakan pelancong sejak peringkat awal merancang perjalanan.
Secara keseluruhannya, perkembangan tersebut mencerminkan pendekatan lebih menyeluruh Malaysia Airlines terhadap pasaran China dengan memperluas capaian, meningkatkan hubungan penerbangan dan mengukuhkan peranan Kuala Lumpur sebagai pintu masuk antara China dan rantau lebih luas.
Sebagai syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines akan terus menyokong usaha pelancongan negara menerusi Tahun Melawat Malaysia (TMM 2026) dengan mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari China, di samping memberikan layanan mesra Malaysia sepanjang perjalanan mereka. - DagangNews.com






