Alliance Bank perluas akses saringan kanser bersama Prince Court dan Persatuan Kanser Kebangsaan

LocalHealth & Fitness
24 Apr 2025 • 2:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Alliance Bank perluas akses saringan kanser bersama Prince Court dan Persatuan Kanser Kebangsaan

image is not available

24/04/2025 - 14:56

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 24 April – Alliance Bank Malaysia Berhad, meluaskan komitmen menerusi kerjasama strategik dengan Prince Court Medical Centre dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), bagi meningkatkan akses kepada saringan kanser serta menggalakkan pengesanan awal penyakit.

Kerjasama tiga penjuru itu dimeterai melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Persidangan Penjagaan Kesihatan dan Farmaseutikal Asia Tenggara (SEA Healthcare and Pharma Conference) 2025.

Kerjasama itu juga selari dengan Pelan Strategik Kawalan Kanser Kebangsaan 2021–2025 yang antara lain bertujuan mengurangkan faktor risiko, memperkukuh pengesanan awal, serta meningkatkan akses kepada diagnosis dan rawatan tepat pada masanya.

Ketua Pegawai Perbankan Pengguna Kumpulan Alliance Bank, Gan Pai Li berkata, inisiatif tersebut memperlihatkan peranan institusi kewangan dalam menyokong gaya hidup sihat pelanggan.

"Kerjasama dengan Prince Court dan NCSM mencerminkan komitmen kami dalam memperkasakan pelanggan dan kakitangan kesihatan untuk mengutamakan kesihatan mereka, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan berkaitan saringan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Prince Court, Dr. Shuba Srinivasan pula berkata, saringan kesihatan perlu dilihat sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial dan bukan semata-mata perkhidmatan.

"Pengesanan awal boleh mengubah perjalanan rawatan, malah menyelamatkan nyawa. Kami percaya, gabungan pihak kesihatan, komuniti dan korporat dalam satu misi mampu menghapuskan halangan serta membuka lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia bertindak lebih awal dan mengawal kesihatan mereka," katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif, NCSM akan menganjurkan siri simposium kesedaran kanser di Prince Court, menampilkan pakar bedah, pakar onkologi, dan profesional penjagaan kanser dari pelbagai bidang.

Setiap sesi akan memberi tumpuan kepada aspek berbeza dalam pendidikan kanser, termasuk pemahaman risiko, pencegahan, pengesanan awal dan rawatan terkini.

Pengarah Urusan NCSM, Kol. Bersekutu Prof Madya Dr Murallitharan Munisamy berkata, mereka mahu membina komuniti yang peka, menghubungkan pakar, dan memperkukuh misi mereka dalam pengesanan awal, rawatan terbaik, dan penjagaan penuh empati.

Dalam pada itu, bermula 2 Mei hingga 31 Disember 2025, semua pemegang kad Alliance Bank akan menikmati diskaun 10% untuk semua pakej saringan kesihatan dan rawatan estetik terpilih serta diskaun 25% bagi pakej bersalin di Prince Court Medical Centre.

Tawaran eksklusif itu bertujuan menggalakkan masyarakat untuk menjalani saringan kesihatan secara berkala dan mendapatkan perkhidmatan perubatan profesional daripada institusi yang diyakini.- DagangNews.com

standard