Malaysia Airlines, Royal Air Maroc meterai perkongsian kod strategik luas rangkaian Afrika, Eropah dan Asia

17 Dec 2025 • 10:28 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Malaysia Airlines, Royal Air Maroc meterai perkongsian kod strategik luas rangkaian Afrika, Eropah dan Asia
image is not available
haziq17/12/2025 - 10:28 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Dis – Malaysia Airlines dan Royal Air Maroc memeterai perkongsian kod strategik yang membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan memperluas rangkaian penerbangan masing-masing merentasi Afrika, Eropah dan Asia.

 

Dalam kenyataan hari ini, Malaysia Aviation Group (MAG) berkata, kerjasama yang berkuat kuasa serta-merta itu mencerminkan usaha berterusan kedua-dua syarikat penerbangan kebangsaan, yang juga ahli pakatan oneworld, untuk mengukuhkan kerjasama strategik dan mengembangkan jaringan antara benua.

 

Menurut kenyataan itu, Malaysia Airlines akan meletakkan kod penerbangan ‘MH’ pada penerbangan yang dikendalikan Royal Air Maroc antara Casablanca (CMN) ke Doha (DOH), London (LHR) dan Paris (CDG). 

 

Sebaliknya, Royal Air Maroc akan meletakkan kod ‘AT’ pada penerbangan Malaysia Airlines bagi laluan Kuala Lumpur (KUL) ke Doha (DOH), London (LHR) dan Paris (CDG).

 

Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail berkata kerjasama tersebut merupakan pencapaian penting dalam strategi rangkaian Malaysia Airlines bagi memperluas jangkauan global menerusi pakatan strategik.

 

“Dengan memanfaatkan kekuatan kolektif rakan kongsi dalam pakatan oneworld, Malaysia Airlines dapat memperluaskan jangkauan melangkaui operasi sendiri, sekali gus menawarkan lebih banyak akses, fleksibiliti dan kemudahan perjalanan kepada pelanggan, khususnya bagi destinasi di Afrika dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, kerjasama itu turut mengukuhkan kehadiran syarikat penerbangan nasional di rantau yang sedang berkembang pesat serta menyokong komitmen untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar berteraskan nilai Hospitaliti Malaysia.

 

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Royal Air Maroc Hamid Addou berkata perkongsian strategik dengan Malaysia Airlines merupakan langkah penting dalam pembangunan rangkaian antarabangsa syarikat penerbangan tersebut.

 

“Kerjasama ini mengukuhkan kedudukan Royal Air Maroc sebagai penghubung utama antara Afrika, Eropah dan Asia, selain membolehkan penumpang menikmati akses lebih luas ke destinasi utama dengan pengalaman perjalanan yang berkualiti dan lancar,” katanya.

 

Menurut beliau, kerjasama berkenaan juga mencerminkan komitmen Royal Air Maroc untuk memperkukuh kehadiran global dan memenuhi jangkaan pelanggan yang semakin meningkat.

 

Kerjasama strategik ini menandakan satu pencapaian penting bagi kedua-dua syarikat penerbangan dalam usaha memperkukuh kehadiran global dan memperluas kesalinghubungan rangkaian, khususnya bagi memenuhi peningkatan permintaan perjalanan antara Asia dan Afrika.

 

Menurut kenyataan itu, sinergi operasi yang diwujudkan melalui perkongsian ini membolehkan penumpang menikmati lebih banyak pilihan destinasi serta sambungan penerbangan yang lebih lancar melalui hab utama masing-masing di Kuala Lumpur dan Casablanca.

 

Malaysia Airlines dan Royal Air Maroc merupakan ahli pakatan oneworld yang menawarkan akses kepada lebih 900 destinasi global dengan manfaat perjalanan bersepadu merangkumi rangkaian syarikat penerbangan anggota pakatan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard