amree02/11/2026 - 09:05 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Nov — Sistem teknologi maklumat (IT) Malaysia Airlines Berhad masih selamat dan tidak terjejas susulan insiden keselamatan siber membabitkan penyedia teknologi pihak ketiganya, Amadeus IT Group SA, meskipun sebahagian maklumat pelanggan berkemungkinan terdedah.
Syarikat penerbangan tersebut dalam kenyataan menerusi laman webnya berkata, insiden berkenaan kemungkinan hanya membabitkan maklumat pelanggan yang diproses melalui sistem Amadeus sepanjang tempoh antara Ogos 2023 hingga September 2026.
Menurut syarikat itu, tiada bukti setakat ini yang menunjukkan maklumat kewangan pelanggan sudah dapat diakses oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Kami memandang serius perkara ini dan sedang bekerjasama rapat dengan Amadeus serta pihak berkaitan untuk menyiasat insiden berkenaan di samping menilai kesannya," jelas Malaysia Airlines.
Sebagai langkah berjaga-jaga, ia menggalakkan pelanggan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang komunikasi yang mencurigakan atau tidak diminta, terutama yang mahukan maklumat peribadi atau kewangan.
Bagaimanapun, syarikat tersebut tidak mendedahkan jumlah pelanggan yang mungkin terjejas atau jenis maklumat peribadi yang berpotensi terdedah dalam insiden berkenaan.

Insiden itu berlaku ketika beberapa syarikat penerbangan antarabangsa turut melaporkan akses tanpa kebenaran terhadap data tempahan penumpang yang disimpan menerusi platform Amadeus, syarikat teknologi perjalanan berpangkalan di Sepanyol.
Pada 30 Oktober 2026, Cathay Pacific Airways Ltd berpangkalan di Hong Kong, China memaklumkan kira-kira 53,000 tempahan penerbangannya terjejas akibat insiden berkenaan.
Kebanyakan rekod yang terjejas merangkumi nombor rujukan tempahan, nama penumpang dan maklumat penerbangan, manakala sebahagian kecil mungkin melibatkan alamat e-mel, nombor telefon, dokumen perjalanan serta nombor keahlian penerbangan kerap.
Cathay Pacific turut mengesahkan tiada bukti maklumat kewangan atau pembayaran pelanggan diakses, selain sistem dalaman dan operasi penerbangannya kekal tidak terjejas.
Menurut syarikat penerbangan itu, Amadeus sudah mengambil langkah membendung insiden termasuk menetapkan semula kata laluan serta mempertingkatkan keupayaan pemantauan dan pengesanan sistem.
Selain itu di Jepun, Japan Airlines Co Ltd serta Japan Transocean Air Co Ltd turut melaporkan 92,000 pelanggan terjejas, manakala All Nippon Airways Co Ltd mengesahkan maklumat kira-kira 37,800 pelanggan telah diakses.
Korean Air Co Ltd dan Asiana Airlines Inc dari Korea Selatan juga melaporkan akses tanpa kebenaran terhadap maklumat tempahan pelanggan menerusi Amadeus. - DagangNews.com





