
PUTRAJAYA: Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang kehakiman.
Ia juga bertujuan memperkukuh hubungan serta perkongsian pengalaman dalam bidang kehakiman antara kedua-dua negara.
MoU itu ditandatangani Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Azhaniz Teh Azman Teh dan Menteri Kehakiman Arab Saudi, Dr. Walid Mohammed Al-Samaani, serta disaksikan Ketua Hakim Negara, Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Kerjasama itu merangkumi pengurusan kes sivil, teknologi dan pendigitalan kehakiman, selain pertukaran pengalaman praktikal serta maklumat kehakiman yang tersedia untuk umum.
Selain itu, MoU berkenaan menyediakan ruang untuk lawatan institusi dan pertukaran secara berkala antara kedua-dua negara.
Dalam kunjungan rasmi itu, Walid dan delegasinya turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Hakim Negara.
Delegasi berkenaan turut menyertai Dialog Kehakiman dan Sesi Perkongsian Pengalaman mengenai pendekatan Malaysia terhadap kesalahan seksual terhadap kanak-kanak selain pendigitalan sistem kehakiman menerusi sistem e-Kehakiman (e-Court).
MoU berkenaan turut menyediakan platform berstruktur bagi meningkatkan penglibatan institusi, perkongsian pengetahuan dan kerjasama berterusan ke arah pentadbiran keadilan yang cekap.
Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan. –UTUSAN
The post Malaysia, Arab Saudi meterai MoU kerjasama bidang kehakiman appeared first on Utusan Malaysia.



