Malaysia, Australia jalin kerjasama dalam teknologi RPAS

LocalTechnology
7 Sep 2026 • 7:21 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia, Australia jalin kerjasama dalam teknologi RPAS

PETALING JAYA: Malaysia dan Australia memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan maritim menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) berkaitan Remotely Piloted Aircraft System (RPAS) atau sistem pesawat tanpa pemandu yang dikendalikan dari jauh.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, negara perlu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi bahkan dalam bidang keselamatan dan penguatkuasaan negara.

“Penggunaan teknologi RPAS berpotensi menjadi antara elemen penting dalam memperluas keupayaan pemantauan dan pengawasan maritim, khususnya di kawasan perairan yang luas dan mencabar.

“Kerjasama strategik bersama Australia membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pengalaman dan pendekatan terbaik dalam membangunkan satu keupayaan yang praktikal, selamat dan bersesuaian dengan keperluan operasi Maritim Malaysia,” katanya ketika Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Auditorium Seri Samudera, Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya hari ini

Tambahnya, pemeteraian MoU itu adalah komitmen kedua-dua negara dalam memperluaskan kerjasama dua hala, khususnya dalam usaha membangunkan keupayaan pengawasan dan pemantauan maritim melalui penerapan teknologi moden, perkongsian kepakaran serta pengalaman operasi.

“MoU ini merupakan kesinambungan kepada MoU mengenai Kerjasama Penguatkuasaan Maritim yang telah ditandatangani pada 28 November 2025, dengan Australia diwakili oleh Maritime Border Command, Australian Border Force.

“Kawalan kawasan perairan yang luas berdepan dengan pelbagai cabaran keselamatan, termasuk aktiviti jenayah rentas sempadan, pencerobohan, penyeludupan serta pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang di laut.

“Teknologi RPAS berpotensi memainkan peranan sebagai pengganda keupayaan (force multiplier) kepada aset dan anggota sedia ada melalui sokongan pemantauan dari udara serta perluasan liputan kawasan pengawasan, sekali gus membantu memperkukuh keupayaan membuat keputusan dan pelaksanaan operasi,” katanya.

Kerjasama ini menurutnya menggabungkan kepakaran Australia dalam penggunaan teknologi dron dengan pengalaman operasi maritim yang luas serta pemahaman Malaysia terhadap persekitaran dan keperluan penguatkuasaan di perairan negara.

Melalui kerjasama rapat antara kedua-dua negara, teknologi tersebut akan dibangunkan dan diintegrasikan secara selamat serta berkesan dalam operasi Maritim Malaysia. – UTUSAN

The post Malaysia, Australia jalin kerjasama dalam teknologi RPAS appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved