MAHA 2026 catat jualan RM66.88j, MoU RM10.35b

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 6:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MAHA 2026 catat jualan RM66.88j, MoU RM10.35b

SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 merekodkan nilai jualan langsung RM66.88 juta dan potensi kerjasama melalui memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM10.35 bilion.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga semalam, seramai 4,296,662 pengunjung hadir ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), termasuk 1.72 juta golongan belia.

Katanya, pencapaian itu membuktikan kekangan perbelanjaan tidak menghalang kejayaan penganjuran acara, malah sambutan rakyat terhadap acara berkenaan kekal tinggi.

“Angka ini membuktikan keterujaan rakyat terhadap acara yang sentiasa ditunggu-tunggu ini,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Penutupan MAHA 2026 di MAEPS, di sini, semalam.

Penganjuran kali ini menghimpunkan 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa.

Selain jualan langsung, ia berjaya memeterai 97 MoU membabitkan kolaborasi strategik dan jangkaan pelaburan bernilai RM10.35 bilion.

Beliau berkata, pencapaian itu memperlihatkan MAHA bukan sekadar medan pameran dan jualan produk pertanian, tetapi turut membuka ruang lebih luas kepada kerjasama industri serta pelaburan dalam sektor agromakanan.

Katanya, penganjuran MAHA juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh sektor agromakanan negara, khususnya mengurangkan kebergantungan terhadap import.

“Pada 2025, nilai eksport meningkat 8.1 peratus kepada RM58.8 bilion, manakala nilai import menurun 1.1 peratus kepada RM92.7 bilion,” katanya.

Mohamad berkata, perkembangan itu menyumbang kepada pengurangan defisit imbangan dagangan sektor agromakanan sebanyak RM5.4 bilion atau 13.8 peratus pada 2025 berbanding tahun sebelumnya.

Malah, sehingga Mei tahun ini, katanya, defisit berkenaan terus menyusut sebanyak 26.4 peratus.

“Sebagai contoh, eksport nanas mencatatkan peningkatan sehingga tiga kali ganda berbanding tiga tahun lalu,” katanya.

Mohamad berkata, beliau menaruh harapan penganjuran MAHA pada masa hadapan akan terus mekar sebagai hab inovasi agromakanan terunggul di rantau ini.- UTUSAN

The post MAHA 2026 catat jualan RM66.88j, MoU RM10.35b appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved