PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memperkasa kapasiti agensi melalui penerapan teknologi moden dan inovasi bagi meningkatkan keupayaan pengawasan, penguatkuasaan serta kesiapsiagaan operasi menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (RPAS).
Pemeteraian MOU dengan Australia itu merupakan manifestasi komitmen negara dalam memperluaskan kerjasama dua hala, khususnya dalam usaha membangunkan keupayaan pengawasan dan pemantauan maritim melalui penerapan teknologi moden, perkongsian kepakaran serta pengalaman operasi.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pemeteraian MOU tersebut mencerminkan kesungguhan pihaknya untuk terus bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam memperkukuh keupayaan agensi melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara.
Menurutnya, penggunaan teknologi RPAS berpotensi menjadi antara elemen penting dalam memperluas keupayaan pemantauan dan pengawasan maritim, khususnya di kawasan perairan yang luas dan mencabar.
“Kerjasama strategik bersama Australia ini pula membuka ruang kepada perkongsian kepakaran, pengalaman dan pendekatan terbaik dalam membangunkan satu keupayaan yang praktikal, selamat dan bersesuaian dengan keperluan operasi Maritim Malaysia.
"Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai kawasan perairan yang luas berdepan dengan pelbagai cabaran keselamatan, termasuk aktiviti jenayah rentas sempadan, pencerobohan, penyeludupan serta pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang di laut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Mohd Rosli berkata, teknologi RPAS berpotensi memainkan peranan sebagai pengganda keupayaan (force multiplier) kepada aset dan anggota sedia ada melalui sokongan pemantauan dari udara serta peluasan liputan kawasan pengawasan, sekali gus membantu memperkukuh keupayaan membuat keputusan dan pelaksanaan operasi.
Katanya, kerjasama ini menggabungkan kepakaran Australia dalam penggunaan teknologi dron dengan pengalaman operasi maritim yang luas serta pemahaman Malaysia terhadap persekitaran dan keperluan penguatkuasaan di perairan negara.
"Melalui kerjasama rapat antara kedua-dua negara, teknologi tersebut akan dibangunkan dan diintegrasikan secara selamat serta berkesan dalam operasi Maritim Malaysia," katanya.
MoU yang dimeterai di Ibu Pejabat Maritim Putrajaya pada Isnin itu adalah memorandum persefahaman kedua antara Maritim Malaysia dan kerajaan Australia.
Ia merupakan kesinambungan kepada MOU mengenai Kerjasama Penguatkuasaan Maritim yang telah ditandatangani pada 28 November 2025, dengan Australia diwakili oleh Maritime Border Command, Australian Border Force.
Pemeteraian MOU ini turut menyediakan kerangka kerjasama yang lebih tersusun bagi membolehkan kedua-dua negara meneruskan pembangunan keupayaan operasi secara bersama dalam jangka panjang, sekali gus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Australia dalam bidang keselamatan maritim.






